Malaysia Dateline

“Saya seronok nak bagi hibah tinggi, tapi bersedialah TH lingkup”

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, sekiranya boleh beliau juga mahu mengagihkan hibah yang tinggi sehingga tujuh peratus kepada pendeposit Tabung Haji (TH) seperti dilakukan kerajaan terdahulu.

Bagaimanapun katanya, pemberian hibah yang tinggi dalam keadaan TH mengalami defisit kewangan sebanyak RM4.1 bilion pada Disember 2017, hanya akan merisikokan lagi kedudukan agensi terbabit.

Jelas Naib Presiden AMANAH itu, tindakan itu juga melanggar Seksyen 22 Akta Tabung Haji iaitu pemberian hibah perlu mematuhi dua syarat utama iaitu jumlah aset TH melebihi liabiliti dan pada masa sama agensi itu juga perlu menjana keuntungan terlebih dahulu.

“Ya, saya seronok nak bagi hibah tinggi, tapi saya lebih prihatin keberlangsungan jangka panjang TH. Kalau saya berterusan buat macam kerajaan terdahulu, apa akan jadi pada TH untuk tempoh 10 tahun akan datang?

“TH akan lingkup kerana tiada kelestarian sebab tidak patuh pada Akta TH Seksyen 22. Marahlah dekat saya, tak mengapa,” katanya ketika temubual khas secara langsung bersama Malaysia Dateline di bangunan Parlimen hari ini.

Isu Tabung Haji hangat dibincangkan selepas kerajaan melalui pertanyaan Lisan ketika sidang Dewan Rakyat 13 Julai lalu, menyatakan bahawa aset terkini Lembaga Tabung Haji dalam laporan prestasi TH setengah tahun pertama 2020, adalah berjumlah RM78 bilion dengan catatan lebihan aset sebanyak RM1.9 bilion.

Pada 2019, Kementerian Agama telah mengambil inisiatif melaksanakan pelan pemulihan ke atas TH dengan mewujudkan Special Purpose Vehicle (SPV) untuk memulihkan kedudukan kewangan agensi tersebut.

Korek ‘reserved’

Ketika itu, Mujahid memaklumkan bahawa SPV yang diwujudkan akan memaksimumkan semua aset TH yang membabitkan prestasi tidak memuaskan.

Nilai hibah TH juga direkodkan meningkat dari 1.25 peratus untuk tempoh kewangan berakhir 2018 kepada 3.05 peratus untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018.

Sementara itu, Ahli Parlimen Parit Buntar itu mempersoalkan sumber kewangan dan bagaimana kerajaan terdahulu boleh mengagihkan hibah yang tinggi biarpun ketika itu liabiliti melebihi keuntungan.

“Di sini ada satu soalan perlu dijawab. Kita bagi hibah atas untung. Bank Negara pada December 2015 dengan berpandu tahun 2014 punya defisit, dia ingatkan bahawa TH telah keluarkan hibah lebih dari untung terkumpul sejak tahun 2012 sehingga 2014.

“Anda bagi hibah tinggi melebihi untung yang anda ada. Satu soalan, di mana dapat duit itu? Di sini kita kata, kita ada untung yang diletak dalam ‘reserved’. ‘Reserved’ ini kalau budaya bayar hibah lebih dari kadar untung, mana duit itu diambil?

“Maknanya dia korek ‘reserved’ sehingga menyebabkan ianya merosot. Apa akan jadi kalau berterusan?

“Kami khuatir ialah keberlangsungan TH itu sendiri. Sampai bila nak jadi macam ini. Korek ‘reserved’ dan bayar hibah tinggi,” tambah Mujahid lagi.