‘Saya sudah beri semua maklumat atas pengetahuan’ kata Annuar

‘Saya sudah beri semua maklumat atas pengetahuan’ kata Annuar

Tan Sri Annuar Musa menyifatkan beliau sudah memberikan segala maklumat dalam pengetahuannya ketika memberi keterangan kira-kira empat jam berhubung dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Beliau yang kini digantung jawatan sebagai pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan pengerusi Pelaburan Mara Bhd (PMB) berkata kehadirannya ke SPRM adalah untuk menunaikan tanggungjawab dan memberikan kerjasama setelah difahamkan agensi itu telah membuka kertas siasatan terhadapnya.

“Saya memberi jawapan setakat apa yang saya tahu berdasarkan kepada apa yang SPRM tanya. Selebihnya terserah kepada SPRM dan pasukan penyiasatan mereka,” katanya kepada pemberita sebelum meninggalkan perkarangan SPRM.

Annuar yang pulang dari New Zealand malam tadi, tiba di ibu pejabat SPRM pada 8.55 pagi dan kelihatan tenang serta sempat melemparkan senyuman sambil mengucapkan terima kasih kepada wakil media yang menunggunya seawal 7 pagi.

Penggantungan jawatan Annuar yang dibuat pada mesyuarat khas Ahli Majlis Mara pada Selasa lepas, bagi membolehkan audit dalaman MARA menyiasat beberapa perkara termasuk penajaan PMB dan UniKL untuk pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors.

Susulan itu, SPRM pada hari sama mengesahkan telah membuka kertas siasatan bagi menyiasat dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa terhadap Annuar.

Ditanya intipati keterangan yang diberikannya kepada SPRM, Annuar berkata beliau menjawab mengenai banyak perkara antaranya penglibatan beliau dalam Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan syarikat yang menguruskan penajaan Persatuan Bola Sepak kelantan (KAFA).

Beliau turut menyifatkan dakwaan dan sisatan yang dihadapinya adalah sebahagian daripada cabaran dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Saya menguruskan bola sepak Kelantan kerana kepentingan orang ramai, jadi kita lakukan yang terbaik tetapi oleh kerana tuduhan-tuduhan ini agak serius bila dikatakan menyeleweng duit biasiswa dan MARA serta memaksa penajaan dan sebagainya.

“Jika itu benar berlaku ia adalah sangat buruk bagi seorang penjawat awam, seorang wakil rakyat dan ahli politik yang sudah mencecah umur 60 tahun, maka mesti disiasat kerana pada saya itu satu kesalahan yang amat besar,” jelasnya.

Menurutnya, beliau juga bersedia untuk dipanggil semula oleh SPRM jika perlu.

Ditanya mengenai pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak, Annuar berkata beliau masih belum mendapat penetapan masa.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa siasatan yang sedang berjalan tiada kaitan dengan perdana menteri.

“Yang dituduh itu saya dan SPRM badan bebas. Bila diajak hendak jumpa Perdana Menteri dulu pun saya tak mahu, saya tak mahu orang buat tuduhan bukan-bukan, saya tanggung sendiri,” katanya.

Mengenai hasratnya untuk bertanding sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), beliau berkata siasatan SPRM tidak menyebabkan beliau hilang kelayakan untuk bertanding.

“Perkara yang menjadikan tidak layak (bertanding) adalah seperti pernah dihukum dan muflis. Disiasat SPRM tidak termasuk (dalam senarai hilang kelayakan), jadi saya masih layak untuk bertanding.

“Tetapi tidak semestinya saya bertanding. Saya orang kecil sahaja, apalah susah-susah sangat. Yang saya bimbang takut semua orang tak mahu bertanding nanti jawatan itu kosong,” katanya sambil ketawa kecil.

TAGS