Saya tak akan keluar parti, kata Hishammuddin 

Saya tak akan keluar parti, kata Hishammuddin 

Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan beliau akan terus kekal setia dan berjuang bersama Umno walaupun telah banyak ahli dari parti tersebut keluar.

Menurutnya beliau tidak akan sama sekali keluar Umno dan akan berusaha membangunkan semula parti berkenaan.

Dengan penjelasan beliau tersebut sekali gus menolak khabar angin yang menyatakan ahli Parlimen Sembrong antara 40 wakil rakyat Umno yang bakal mengikuti jejak anggota parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed menyertai Bersatu.

“Saya tegaskan sekali lagi saya tidak akan keluar parti. Mungkin dah seorang kurang dari senarai 40 orang itu.

“Orang putih kata kalau nak tahu actions speak lauder than word. Jadi action saya hari ini mana ada keluar parti,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

“Setiap wakil rakyat ada maruah mereka,” menurutnya.

Katanya, dakwaan wakil Umno akan menyertai Bersatu beramai-ramai sengaja dijadikan isu untuk memanaskan keadaan.

“Hari ini buat satu isu, dua, tiga hari panas. bila tidak benar mereka alih kepada isu lain pula,” ujarnya

Sebelum ini, anggota Majlis Tertinggi Bersatu Datuk A Kadir Jasin dilaporkan berkata, kira-kira 40 anggota parlimen Umno akan meninggalkan parti itu dan menyertai Brsatu.

Jelasnya, mereka sudah beberapa kali menemui Tun Dr Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kepimpinan tertinggi lain parti itu, secara berseorangan atau berkumpulan.