Malaysia Dateline

Saya tak bayar, Pas pun tak bayar, kata Presiden Pas, Hadi Awang

Ketika isteri Rameli Musa bersedih, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetap menafikan beliau atau Pas membuat atau mengarahkan bayaran dibuat kepada Editor Sarawak Report, Claire Recastle Brown sebagaimana yang dilaporkan.

“Dulu RM90 juta, sekarang RM1.4 juta pula. Saya tak bayar, Pas pun tak bayar,” kata Hadi kepada soalan yang diajukan oleh wartawan hari ini.

Namun begitu, kata Hadi, beliau tidak akan mengambil apa-apa tindakan kepada pihak yang membuat dakwaan itu termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tindakan kita adalah memberikan penjelasan kepada masyarakat apa yang sebenarnya. Pas ini parti miskin tetapi kita ada banyak penyumbang bukan seorang dua sahaja,” kata Hadi.

Semasa kempen pilihan raya kecil Semenyih, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, beliau mempunyai bukti pembayaran oleh Pas kepada Editor Sarawak Report bagi membolehkan saman terhadapnya diselesaikan di luar mahkamah.

Sarawak Report pula menunjukkan satu surat pengakuan penerimaan wang berjumlah RM1,422,980 yang dibayar kepada peguamnya bagi membolehkan penyelesaian luar mahkamah dicapai antara pihaknya dan Pas.

Namun Ketua Penerangan Pas, Nasarudin Hassan menafikan perkara itu kerana nombor akaun Bank Islam yang dinyatakan adalah palsu kerana ia hanya 10 digit sedangkan akaun Bank Islam mempunyai 14 digit angka.

Ekoran itu, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli membuktikan ia akaun yang sah dan dimiliki oleh Rameli Musa, seorang ahli perniagaan yang dermawan.

Apabila Rameli diseret ke pejabat SPRM kerana dakwaan ini, isterinya menulis dalam FBnya kesal dengan sikap pihak yang yang mendapat bantuan tetapi tidak membela atau bersimpati dengan suaminya.

 

KAMI PINJAM BAYAR DEPOSIT

Dalam sidang media hari ini juga Hadi mengaku ada membuat pinjaman wang dengan pelbagai pihak untuk membayar deposit calon-calon Pas dalam pilihan raya umum.

Menurut Hadi, semasa pilihan raya, ramai yang memberikan pinjaman kepada Pas untuk membayar deposit pilihan raya.

“Semasa pilihan raya, ramai yang memberikan pinjaman kepada kita untuk membayar deposit, kerana mereka tahu calon pas tidak ramai yang  hilang wang deposit,” katanya.

Menurut Sarawak Report, ketika pembelaan kes mereka di Mahkamah London, mereka memasukkan antara bukti Pas menerima wang dari Umno adalah semasa pilihan raya lalu.

Laman berita itu mendakwa, Umno telah membayar banyak deposit calon-calon pilihan raya Pas.

“Kami ada bukti,” kata Sarawak Report.

 

TAK SAMAN, KITA SOLAT HAJAT

Dalam sidang media hari ini, Hadi juga berkata, Pas tidak akan menghabiskan masa dan wang untuk membuat sebarang saman di mahkamah lagi.

“Kita tidak akan habiskan masa dan duit untuk saman saman ini. Cuma bila orang tu degil, kita akan mengadu kepada Allah Taala dengan sembahyang hajat,” katanya.

Berhubung dengan gambar beliau dengan Rameli, Hadi mengaku beliau berjumpa dengan Rameli di Thailand dua tahun lepas bukan sehari dua ini.

Berhubung dengan dakwaan Pas mengkafirkan Umno, Hadi berkata, Pas tidak mengkafirkan Umno tetapoi menjelaskan hukum Islam.

Berhubung dengan kerjasama Pas dengan Umno, beliau berkata, Pas akan bekerjasama dengan parti-parti orang Melayu iaitu Umno dan Bersatu.

“PKR bukan parti Melayu, PAN (AMANAH) bukan parti Melayu,” kata Hadi.