Malaysia Dateline

Saya tak buat salah melibatkan kerja, kata Khairuddin

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, beliau tidak melakukan kesalahan melibatkan kerjanya sebagai Menteri sehingga perlu meletakkan jawatan seperti yang didesak beberapa pihak ketika ini.

Sebaliknya beliau berkata, kesalahannya hanya melibatkan satu ‘kekhilafan’ kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

“Saya tidak buat salah melibatkan kerja saya tetapi melibatkan satu kekhilafan dalam SOP, itu pun saya tak nak buat kenyataan panjang terserah kepada pihak polis.

“Saya ada pandangan saya tersendiri. Saya serahkan kepada pihak polis, dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) telah mengeluarkan kenyataan, bagi saya selesai lah,” katanya selepas merasmikan program MSPO Negeri Perak, hari ini.

Pada 7 Ogos, Khairuddin dikenakan kompaun RM1,000 atas kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998.

Pada 23 Ogos pula, Bukit Aman dilaporkan telah membuka kertas siasatan terhadap ahli Parlimen Kuala Nerus itu kerana gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah.

Timbalan Pengarah Siasatan dan Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah, DCP Mior Faridalathrash Wahid memaklumkan bahawa sebanyak 27 laporan polis diterima seluruh negara berhubung perkara berkenaan.

Petisyen yang mendesak perletakan jawatan Menteri itu juga tersebar luas dengan lebih 50,000 sokongan selepas ianya digerakkan minggu lalu.

Sementara itu, dalam keterangannya semalam, Khairuddin berkata beliau turut memaklumkan pihak polis bahawa tujuan kunjungannya ke Turki adalah atas urusan rasmi.

“Saya telah maklum kepada mereka ke Turki atas urusan rasmi,” katanya.