Saya tak tahu pertemuan itu, kata Mujahid

Saya tak tahu pertemuan itu, kata Mujahid

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengakui tidak tahu tentang perjumpaan 22 Ahli Parlimen Umno di kediaman Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohames Azmin Ali, pada semalam.

Katanya, ia merupakan di luar bidangnya untuk memberi komen berkenaan perjumpaan tersebut.

“Saya tidak ada komen dan saya tidak tahu, itu di luar saya punya bidang,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Multaqa Ulama Asia Tenggara 2019 “Wawasan¬†Kemakmuran dan Kedamaian Rahmatan lil Alamin” yang bertempat di Dewan Mentari Movenpick Hotel dan Pusat Konvensyen KLIA, hari ini.

Semalam, kenderaan milik wakil rakyat termasuk yang mempunyai jata Ahli Parlimen dan Timbalan Menteri memasuki kediaman Mohamed Azmin dipercayai mengadakan pertemuan dengan Timbalan Presiden PKR itu.

Menurut laporan media, Mohamed Azmin mengadakan pertemuan itu bagi mendapatkan sokongan daripada sekurang-kurangnya 30 Ahli Parlimen BN bagi menafikan cubaan menjatuhkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melalui undi tidak percaya.

Kesemua wakil rakyat tersebut dipercayai berada di situ sejak 7 malam sebelum beransur-ansur meninggalkan kediaman Mohamed Azmin mulai 11 malam dengan yang terakhir dilihat keluar ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Naib Presiden PKR, Zuraida Kamarudin.