Malaysia Dateline

Saya tamatkan cuti rehat sebagai Presiden Umno, kata Zahid Hamidi

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini menjalankan tugas Presiden Umno berkuatkuasa hari ini selepas bercuti daripada tugas Presiden parti itu sejak 18 Disember tahun lalu.

Bekas Timbalan Perdana Menteri tersebut mengumumkan hal demikian ketika Majlis Sambutan Aidilfitri Parlimen Bagan Datuk di Kompleks Umno Bagan Datuk hari ini.

“Saya ingin mengumumkan bahawa saya menamatkan cuti rehat sebagai Presiden Umno mulai hari ini, bererti bahawa mulai hari ini saya akan terus menyambung tugas saya sebagai Presiden Umno Malaysia.

“Biarpun 80 pertuduhan dikenakan kepada saya, biarpun yang akan datang mungkin 800 pertuduhan,” ujarnya dalam satu petikan ucapan selama kira-kira 48 saat di laman Facebooknya hari ini.

Pada 18 Disember lalu, Ahmad Zahid selepas Wacana U3.0 ‘Sesi Hati Ke Hati Bersama Presiden Umno’ bersetuju menyerahkan tugasnya kepada Datuk Seri Mohamad Hasan selaku timbalannya.

Tindakan itu dibuat atas alasan demi keutuhan parti serta demi kepentingan pimpinan pada semua peringkat terutama Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Umno Bahagian.