‘Saya telah diserang seorang profesor kangkung hari ini’

Oleh ARIF ATAN

Laman web MalaysiaNow hari ini menerbitkan sebuah artikel, “Adakah Malaysia benar-benar sebuah negara gagal?” oleh Mohd Hazmi Mohd Rusli.

Saya mencari maklumat dan mendapati Mohd Hazmi bin Mohd Rusli adalah seorang pensyarah kanan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Beliau juga merupakan seorang profesor pelawat di beberapa universiti di seluruh dunia termasuklah di Far Eastern Federal University, Vladivostok, Russia; Vladivostok State University of Economics and Service (VSUES); Universiti Xiamen; Universiti Brawijaya, Indonesia; dan Universiti Kebangsaan Timor-Loras’e, Dili, Timor-Leste.

Dalam artikelnya, Hazmi mengakui yang saya telah memberikan amaran bahawa Malaysia mungkin akan menjejaki langkah Sri Lanka menjelang tahun 2057, tetapi sebahagian besar artikelnya diasaskan kepada hakikat yang Malaysia hari ini bukanlah sebuah negara gagal.

Saya tidak pernah mengatakan yang Malaysia hari ini adalah sebuah negara gagal. Saya juga tidak pernah cuba untuk mengambil ringan dalam membandingkan keadaan di Malaysia hari ini dengan keadaan Sri Lanka yang kini menghampiri status sebuah negara gagal.

Namun, kita semua mempunyai tanggungjawab terhadap anak dan cucu cicit kita, tanpa mengira kaum atau agama, untuk memastikan Malaysia tidak menerima nasib sebagai sebuah negara gagal menjelang ulang tahun ke-100 negara pada tahun 2057 atau 2063.

Mohd Hazmi tidak memahami perbezaan ringkas sebegini.

Seorang profesor yang tidak dapat membezakan Malaysia pada tahun 2057 atau 2063 dengan Malaysia pada tahun 2022 adalah tidak lain dan tidak bukan lagi hanyalah seorang “profesor kangkung”.

Terma ini dicipta oleh rakan saya, Allahyarham Profesor Syed Hussein Alatas untuk merujuk kepada profesor yang “langsung tidak mempunyai ilmu pengetahuan” dan mereka yang tidak layak untuk digelar sebagai pemikir dan cendekiawan.

Menurut pengarah pertama Institut Teknologi Mara (ITM), Tun Dr Arshad Ayub tahun lepas, terdapat kira-kira 2,500 “profesor kangkung” di Malaysia.

Tanggungjawab segera kita adalah untuk meningkatkan standard pendidikan di setiap peringkat di Malaysia dan untuk memastikan 2,500 orang “profesor kangkung” ini dididik untuk menjadi cendekiawan dan ahli akademik yang tulen.

Atas sebab itulah, saya sebelum ini telah merayu kepada Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam (MAPPIM), dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) untuk menarik semula rayuan mereka dan juga supaya I-Guru untuk tidak mengemukakan rayuan ke atas keputusan mengenai sekolah rendah Cina dan Tamil ini.

Sebaliknya, saya berharap mereka dapat memainkan peranan untuk menetapkan semula dan mencapai potensi Malaysia untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia dari segi daya saing global, tadbir urus yang baik, kedaulatan undang-undang, memerangi rasuah, dan mempunyai sebuah kerajaan yang cekap dan berkesan.

Penetapan semula untuk Malaysia ini merangkumi penaiktarafan tahap pendidikan di Malaysia supaya negara kita tidak akan mempunyai jumlah “profesor kangkung” yang terlalu ramai.

Baca juga Surat terbuka di hari pertama persaraan Lim Kit Siang

Baca juga Tidak sensitif isu Shuib, Rosyam dikecam netizen