Isteri kepada pengarah dan pelakon, Rusdi Ramli iaitu Sharon Paul telah berjaya mencuri perhatian setelah membuat satu pendedahan mengejutkan, baru-baru ini.
Tiada angin tiada ribut, Rusdi Ramli dan isterinya yang merupakan seorang komposer terkenal itu rupa-rupanya sedang berhadapan dengan konflik dalam rumah tangga.
Walau bagaimanapun, pasangan yang melangsungkan perkahwinan pada tahun 2008 lalu itu masih bergelar suami isteri dan tetap tinggal sebumbung bersama anak-anak.
Menurut Sharon Paul, mereka kini berusaha untuk terus bertahan sebagai keluarga demi kepentingan dan juga kemahuan anak bongsunya yang baru berusia 11 tahun.
Tular di media sosial, perkara tersebut dibongkarkan oleh Sharon menerusi sesi temu bual bersama rancangan hiburan, Melodi yang turut dimuat naik di laman TikTok.
“Anak-anak sentiasa menjadi keutamaan saya. Anak bongsu, Ryan mahu kami terus menjadi keluarga. Jadi, saya bertahan sahajalah. Bagi saya, setiap rumah tangga ada pasang surut.
“Bukanlah bermakna kami bergaduh. Tetapi, kami beri ruang antara satu sama lain dan saya menantikan lampu hijau daripada Rusdi (untuk berpisah),” katanya.
Wanita berusia 46 tahun itu bagai memberi bayangan bahawa masalah rumah tangga mereka berdua berkemungkinan berpunca daripada sikap ‘sendu’ suaminya.
Mencuba untuk ruang kepada suami, pelakon filem Tanda Putra itu bagaimanapun seakan tidak bersemangat berikutan kurang tawaran berlakon dan juga pengarahan.
“Suami masih berlakon dan mengarah, tetapi saya tak tahu apa yang berlaku. Dia nampak seperti tak bersemangat, mungkin kerana tawaran kerja sudah berkurangan.
“Kalau saya (kurang tawaran), saya akan cuba teroka sesuatu baru. Kalau tak boleh ini, cuba pula yang lain. Namun, saya tengok suami macam sendu dan tak bersemangat.
“Tetapi, saya tak masuk campur sebab tahu sahajalah perangai orang lelaki, tak boleh didesak. Jadi, saya berikan masa dan ruang. Kita tengok macam mana nanti,” jelasnya.
Melihat masalah dari sisi positif, Sharon yang sibuk bekerja itu bersyukur Rusdi sering berada di rumah dan boleh menghantar serta mengambil anak pulang dari sekolah.
Sharon bagaimanapun tidak menafikan dirinya sudah bersedia untuk berpisah dengan Rusdi sekiranya berjaya mendapat persetujuan dari anak-anak suatu hari nanti.
“Seperti saya katakan tadi, anak-anak keutamaan saya. Mungkin (berpisah) ketika sudah habis sekolah dan dewasa, mereka tak perlukan saya atau mereka tak kisah jika kami tak bersama lagi.” Ulasnya.
Untuk rekod, pasangan yang sudah mendirikan rumah tangga selama 15 tahun itu dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Reo Ridza, 14, dan Ryan Ridza yang kini berusia 11 tahun.
Manakala Rusdi pula telah memiliki seorang cahaya mata lelaki, Efiezal Ridza yang kini berusia 33 tahun menerusi perkahwinan terdahulu.
Baca juga: Tak perlu lagi ambil ubat steroid, Noryn Aziz anggap penyingkiran sebagai hikmah