Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin semalam dianggap sebagai cubaan untuk ‘membodek’ Yang di-Pertuan Agong bakal bermesyuarat bersama Raja-Raja Melayu hari ini.
Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Mahfuz Omar berkata, pengumuman Muhyiddin itu amat mengejutkan kerana ianya diumumkan sehari sebelum perjumpaan khas Majlis Raja-Raja Melayu.
“Sehari sebelum perjumpaan khas antara Yang di-Pertuan Agong dengan Raja-Raja Melayu, tiba-tiba Mahiaddin muncul membentangkan Pelan Pemulihan Negara. Ini satu benda yang sangat mengejutkan semua.
“Saya tepuk dahi. 13 hari bulan Perdana Menteri menyebut bahawa kerajaan akan merangka Pelan Pemulihan Negara. Tiba-tiba 15 hari bulan, kerajaan bentang kepada rakyat tentang pelan itu.
“Tapi tak ada satu pelan pemulihan yang benar-benar meyakinkan rakyat Malaysia bahawa kerajaan mempunyai satu perancangan yang cukup rapi bagaimana nak keluarkan Malaysia ini daripada pandemik Covid-19,” katanya dalam satu rakaman video di Facebooknya semalam.
Semalam, Mahiaddin mengumumkan Pelan Pemulihan Negara yang mengandungi empat fasa dan dijangka berakhir Disember tahun ini.
Fasa kedua hanya akan bermula sekiranya angka kes Covid-19 mula menurun ke 4,000 kes.
Petang ini, Majlis Raja-Raja Melayu akan bersidang dan segala pandangan dari 18 pemimpin politik yang sudah menghadap Yang di-Pertuan Agong sejak minggu lalu, akan dibawa ke mesyuarat tersebut.
Mengulas lanjut Mahfuz berkata, pembentangan Pelan Pemulihan Negara hakikatnya amat perlahan dan ianya satu perkara yang memalukan kerana kerajaan sudah dilihat gagal oleh raja-raja.
“Apa yang melucukan pembentangan ini lebih kepada nak cuba memujuk Agong dan Raja-Raja Melayu seolah-olah patik juga ada Pelan Pemulihan Negara.
“(Mahiaddin umumkan pelan ini) apabila raja-raja sudah gelisah dengan pencapaian negara yang sangat buruk sehingga Agong terpaksa berbincang dengan raja-raja bagaimana nak keluar dari pandemik ini,” katanya lagi.