Malaysia Dateline

Saya terima keputusan mahkamah dengan lapang dada, kata Husam

Husam Musa

Naib Presiden AMANAH Datuk Husam Musa menerima keputusan mahkamah hari ini dengan lapang dada.

Beliau yang juga Adun Salor dan pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan mengucapkan berbanyak terima kasih pada pasukan peguam dan para penyokong Amanah dan orang ramai yang mengiringi perbicaraan itu.

“Juga Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu yang membicarakan kes berkenaan,” katanya.

dalam nota terima kasihnya kepada semua yang terlibat dalam permohonan injunksi berkaitan Wisma Tok Guru, Husam berkata penolakan permohonan injunksi hari ini bukannya penamat.

“Permohanan asal untuk Mahkamah menentukan milikan bangunan Wisma Tok Guru akan didengar oleh mahkamah sebagaimana dijadualkan pada 4 Disember ini,” katanya.

Penolakan injunksi ini menurut beliau bermakna Pas boleh menjalankan aktivitinya di atas ‘tanah’ lot-lot berkenaan.

“Namun perintah penolakan permohonan Injuksi oleh Mahkamah tidak menyentuh hak saya kepada keseluruhan bangunan Wisma Tok Guru termasuklah dewan terbuka berbumbung.

“Jika bangunan tersebut dimasuki PAS maka ianya suatu pencerobohan sehingga Mahkamah bersidang dan memutuskan kedudukan milikan bangunan berkenaan,” katanya.

Dalam keputusan tengahari tadi, Mahkamah Tinggi Kota Bharu menolak permohonan injunksi Adun Salor, Datuk Husam Musa untuk menghalang Pas Kelantan mengadakan majlis solat hajat di atas tanah yang dibeli mereka yang menempatkan pejabatnya, Wisma Tok Guru.

Hakim Datuk Ahmad bin Bache bagaimanapun berkata, bangunan Wisma Tok Guru masih diberi hak kepada Adun Salor menggunakannya sehinggalah perbicaraan penuh mengenainya diadakan.