Malaysia Dateline

Saya terkejut tiba-tiba Najib hadir, rasa ditipu, kata Pak Amjal

Pemilik Restoran Amjal, Jalaluddin Ab Manaf melahirkan kekecewaan terhadap insiden serangan penyokong mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terhadap sekumpulan mahasiswa yang berhimpun menuntut penjelasan berkenaan RM2.6 bilion.

Beliau yang dikenali sebagai Pak Amjal berkata, sebagai seorang pengusaha restoran, beliau sedia menerima tempahan mana-mana pihak yang ingin menyewa dewan termasuk daripada mahasiswa.

Oleh demikian, beliau telah bersetuju menyewakan dewannya kepada sekumpulan yang mengaku mahasiswa Universiti Malaya untuk program diskusi ilmiah tetapi berlangsung sebaliknya.

“Saya terkejut apabila ketika program itu berlangsung tiba-tiba mantan PM hadir. Pada ketika itu, saya merasa telah diperdayakan dan ditipu oleh pihak penganjur,” katanya dalam satu kenyataan.

Jalaluddin Ab Manaf

Justeru, Pak Amjal berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan ke atas insiden tersebut secara adil dan mendakwa mereka yang memulakan serangan tersebut.

Terdahulu, program sembang santai Najib Razak dengan mahasiswa Universiti Malaya (UM) di Restoran Amjal menjadi kecoh apabila penyokong Najib dikatakan menyerang sekumpulan mahasiswa kerana tidak berpuas hati.

Ini kerana kumpulan mahasiswa terbabit yang berada di seberang Restoran Amjal dilihat berarak membawa karikatur Najib berunsur jenaka dan kertas yang bertulis ‘Mana RM2.6 bilion?’, ‘Tangkap Najib’ dan ‘Najib Tak Malu’.

Tinjauan Malaysia Dateline mendapati, terdapat kira-kira 40 orang menghadiri sesi pertemuan itu, yang bermula kira-kira jam 2.30 petang dan kebanyakannya adalah pelajar.