Saya tidak ada masalah dengan menteri DAP bantu pelajar tahfiz, kata Mahfuz
Mahfuz bersama pelajar Tahfiz di Kedah dalam usaha beliau membantu mereka memasuki pasaran pekerjaan di Malaysia.

Saya tidak ada masalah dengan menteri DAP bantu pelajar tahfiz, kata Mahfuz

Bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau tidak pernah mempunyai masalah untuk menjalankan tugas membantu pelajar tahfiz di bawah menteri dari DAP, berbangsa India dan beragama Hindu.

Bahkan, katanya, beliau mendapat dorongan dari Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran dalam menjalankan tugasnya membantu pelajar tahfiz itu.

“Saya tidak ada masalah jalankan tugas di bawah menteri dari DAP, berbangsa India dan beragama hindu. Jadi kenapa kita melihat sangat negatif tentang DAP ini,” kata Mahfuz dalam perbincangan politik di Jom Chanel, sebuah saluran TV Internet malam ini.

Menurut Mahfuz yang kebetulan diberikan tugas untuk memajukan TVET (Technical and Vocational Education and Training) di kementerian Sumber Manusia berkata, beliau cuba membantu pelajar tahfiz di Malaysia.

“Saya melihat ada masalah kepada pelajar tahfiz kalau kita tidak bantu mereka memasuki peluang pekerjaan.

“Takkan semua mereka nak jadi imam. Berapa banyak sangat masjid di Malaysia. Jadi kita bantu mereka belajar tahfiz sambil belajar TVET ini.

“Alhamdulillah menteri saya menyokong dan memberikan kerjasama yang baik dalam menjalankan tugas saya itu,” kata Mahfuz.