Malaysia Dateline

Saya tidak akan letak jawatan, kata Zahid

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta anggota partinya untuk menghormati perlembagaan parti dan peranan presiden yang dipegangnya selepas beberapa desakan akar umbi yang meminta beliau meletakkan jawatan.

Memetik portal berita Free Malaysia Today, Zahid berkata beliau telah dipilih untuk jawatan itu secara demokratik dan desakan untuk melepaskan jawatan bukanlah satu penyelesaian kepada masalah yang berlaku.

“Kita harus menghormati perlembagaan parti yang telah memperuntukkan (hal-hal berkaitan) institusi kepemimpinan, baik di peringkat bahagian, kawasan atau di peringkat negeri dan nasional.

“Ini dinyatakan dalam perlembagaan. Oleh itu, ia mesti dihormati oleh ahli dan semua pemimpin parti,” katanya dalam temu bual bersama FMT.

Terdahulu, akar umbi Umno dengan yang terbaharu daripada Umno Paya Besar, mendesak perletakan jawatan Zahid.

Mereka mendakwa, Zahid “lemah dalam ketegasan tindakan”, di sebalik pergolakan dalam parti yang berpaksikan kerjasama Umno dengan Bersatu.

Ketuanya, Ahmad Tajuddin Sulaiman mendakwa arah tuju parti yang tidak jelas meluntur daya juang dan kesungguhan ahli Umno.