Malaysia Dateline

Saya tidak bosan kekal dengan satu pasangan, kata Dr Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, walaupun ramai orang bosan dengan seorang pasangan sahaja dalam hidup tetapi beliau tidak pernah bosan dengan pasangannya sejak 60 tahun lalu, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Dalam temubual dan perbincangan siaran langsung di Youtube ketika menjadi tetamu khas dalam “How to turn crisis into opportunity”, anjuran Creative Cloud Community (CCC), Tun Mahathir berkata, dia sangat bersyukur dengannya.

“Dari segi kehidupan peribadi pula saya telah berkahwin selama 60 tahun. Saya bersyukur.

“Saya lihat ramai orang bosan dengan seorang, saya tidak,” katanya sambil tersenyum yang kekal hidup berpasangan dengan Siti Hasmah sehingga lebih 60 tahun.

Dr Mahathir berkahwin dengan Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada 1956 dan kekal sehingga sekarang sehingga beliau menjadi pemimpin tertua di dunia.

Bekas PM ke 4 dan ke 7 itu berkata, beliau bersyukur kerana terus kekal hidup sehingga mencecah umur 95 tahun pada 10 Julai depan.

“Saya amat bersyukur bahawa saya dapat hidup melebihi angka yang saya jangkakan. Saya fikirkan bahawa 75 tahun sudah cukup untuk saya.

“Saya 94 tahun sekarang. Ia merupakan bonus dan saya amat bersyukur.

“Ia bukan merupakan perkara yang saya boleh perolehi begitu sahaja. Tetapi kerana saya mampu hidup (sehingga kini), saya rasa bahawa saya patut memanfaatkan kehidupan saya sebaik mungkin kerana ini bonus yang diberikan kepada saya,” katanya.