Malaysia Dateline

Saya tidak membisu isu tulisan jawi, tegas Mujahid

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menafikan dakwaan kononnya beliau membisu ketika berlaku polemik isu tulisan jawi di sekolah vernakular.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, beliau sendiri secara peribadi telah bertemu dengan kumpulan yang menolak pengajaran jawi dan menerangkan tentang kewajaran sistem tulisan bahasa Melayu itu.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya kenyataan tidak perlu belajar jawi. Siapa kata kita membisu isu jawi?

“Saya sendiri secara peribadi telah bertemu dengan kelompok-kelompok yang tidak mahu jawi,” ujarnya dalam slot Bicara YB, “Cabaran 2020: Mendepani Isu Agama dan Perkauman” menerusi Jom Channel pada 13 Januari lalu.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu juga memberi penerangan kepada media berbahasa Cina bahawa mempelajari tulisan jawi tidak bermakna akan diIslamkan.

“Saya memahamkan mereka bahawa jawi tidak kena-mengena dengan pengIslaman hanya kerana mempelajari jawi. Saya cakap hal ini kepada wartawan-wartawan berbahasa Cina,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mujahid berkata, beliau sendiri telah mengisytiharkan hari Jumaat sebagai hari penggunaan tulisan jawi sebagai usaha untuk memperkasakan tulisan itu.

Beliau pada 4 September tahun lalu dalam kenyataannya berkata, semua kaum patut menyokong jawi kerana tulisan itu bukan hak Melayu tetapi warisan rakyat Malaysia.

“Siapa yang membisu? Saya menteri pertama isytihar hari Jumaat adalah hari jawi. Semua agensi termasuk TV Hijrah pakai kad nama jawi, surat (bertulisan) jawi dan tv keluar tulisan dalam jawi.

“Tulisan-tulisan saya yang mempertahankan jawi sebagai warisan termasuk kenyataan saya dalam rakan Pakatan Harapan, YB Segambut, saya telah buat kenyataan pada hari pameran diraja.

“Saya sudah jawab. Jawi bukan hak orang Melayu. Jawi adalah legasi semua kita rakyat Malaysia,” ujarnya.

Dr Mujahid juga berkata, tulisan jawi telah lama digunakan secara meluas dalam hubungan diplomasi serta ketika penjajahan British di Tanah Melayu.

“Tulisan dan komunikasi kita dulu dengan negara luar adalah dalam tulisan jawi. Malah, saman orang putih (penjajah) tulis jawi untuk saman orang Melayu.

“Orang bukan Islam dulu belajar jawi tidak menjadi Islam, maka jawi adalah sejarah. Dalam Kabinet mempertahankan (jawi),” tambahnya lagi.