Saya tidak nampak tokoh dikatakan ‘bersih’ itu bagaimana, soal Zein Isma

Oleh MALAYSIADATELINE

Umno Selangor menolak dakwaan pembangkang kononnya kemunculan semula tiga bekas menteri besar untuk membantu Umno-BN di negeri itu yang dilihat semakin tergugat dalam usaha untuk merampas kembali negeri Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Ketua Penerangan Datuk Zein Isma Ismail turut menafikan dakwaan tokoh yang diketengahkan semula itu dikalangan mereka yang terbabit dalam gejala rasuah dan bukan seorang pemimpin yang bersih.

Beliau berkata, tokoh seperti Tan Sri Muhammad Muhd Taib, Dr Mohd Khir Toyo dan Tan Sri Abu Hassan Omar adalah tokoh yang berpengalaman dan banyak jasa di Selangor.

“Satu kenyataan ditolak mentah-mentah. Kita berjiwa besar…yang nak kembali membantu negeri Selangor kita terima.

“Jika nak ambil penilaian tanpa mereka bertiga, berkemungkinan Selangor akan kalah itu tidak benar sama sekali.

“Selangor sangat unik sebuah negeri di dalamnya ada pusat pentadbiran dan penduduknya di Lembah Kelang mencari makan di sini.

“Saya tidak nampak tokoh yang dikatakan ‘bersih’ itu bagaimana?

“Tokoh di dapati bersalah oleh mahkamah merayu di mahkamah rayuan tokoh yang masuk penjara juga mereka (pembangkang) boleh ingat dia tidak bersalah mereka yakin dia boleh mampu mentadbir negara dengan baik.

“Tokoh yang didapati bersalah di Pulau Pinang masih dalam proses rayuan dianggap juara kepada rakyat,” ujarnya dalam sidang media di Ibupejabat Umno Selangor di Shah Alam petang ini.

Datuk Zein Isma Ismail

Beliau merujuk kepada pemenjaraan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim  dalam kes liwatnya dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam kes rasuah pemimpin DAP itu yang masih lagi dalam perbicaraan yang enggan meletakkan jawatannya.

Sambungnya lagi, “jika Dr Khir  dibawa ke muka pengadilan, dia berehat dan lepaskan jawatan. Saya tidak nampak Mat Taib pula rasuah kerana walau beliau dibicarakan tetapi didapati tidak bersalah. Jangan menuding jari,” ujarnya.

Dr Khir dipenjarakan selama 12 bulan pada 2015  didapati bersalah kerana  menyalah guna kuasa sebagai penjawat awam bagi memperoleh dua lot tanah dan sebuah banglo di Shah Alam bernilai RM6.5 juta pada harga RM3.5 juta pada 2007 untuk dirinya dan isterinya.

Manakala Muhammad pula didakwa menipu ketika menyatakan, jumlah wang tunai yang dibawa masuk ke Australia pada 16 Disember 1996, dan gagal mengisytiharkan baki wang yang hendak dibawa keluar dari Australia – melebihi had maksimum A$5,000 (RM19,686), yang ditetapkan oleh Australia, ketika cuba keluar dari negara itu pada 22 Disember 1996.

Zein berkata, apa yang dimainkan oleh pembangkang dengan kemunculan semula tiga bekas menteri besar di Selangor itu hanya propaganda politik semata-mata.

“Saya lihat tidak ada sebab, itu adalah cerita propaganda kerana politik fitnah dan persepsi semata-mata,” ujarnya.

Justeru beliau yakin dengan kemunculan Muhammad, Mohd Khir dan Abu Hassan akan dapat menambah bilangan undi kepada Umno- BN kerana mereka adalah tokoh Umno yang banyak berjasa di Selangor.

“Lebih-lebih lagi Mat Taib, dia sudah berada dalam kelompok kepimpinan pembangkang sebelum ini, sudah pasti apa yang tersurat dan tersirat akan didedahkannya nanti,” ujarnya.

Justeru Umno Selangor akan mengadakan ‘Jelajah Isu Semasa’ Khas bersama Tan Sri Muhammad Muhd Taib pada Oktober ini bermula pada 17 Oktober di Lembah Jaya, 18 Oktober (Meru) dan 28 Oktober di Dusun Tua dan sembilan lagi siri jelajah pada November yang membabitkan Muhammad.

Ia akan diikuti dengan siri jelajah berikutnya yang akan menampilkan Dr Khir Toyo dan Tan Sri Abu Hassan.

Pada 22 September lalu Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar, berkata penyertaan semula  Muhamad dalam Umno dan dengan gandingan dua lagi bekas menteri besar Mohd  Khir  dan  Abu Hassan  akan memberi aura baharu buat BN di negeri itu.