Malaysia Dateline

Saya tidak pernah ‘claim victory’, media salah lapor, kata Azmin

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan beliau pernah mengisytiharkan kemenangannya dalam pemilihan parti baru-baru ini sebelum diumumkan secara rasmi oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).

Sebaliknya beliau Mohamed Azmin berkata beliau hanya mengucapkan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada anggota parti yang berjaya meneruskan agenda reformasi.

“Saya tidak pernah ‘claim victory’ (dakwa menang) sehingga pihak JPP umum secara rasmi, itu adalah kesilapan pihak media yang membuat laporan tidak tepat.

“Kalau lihat tweet saya, saya sekadar mengucapkan Alhamdullilah dan syukur, terima kasih kepada anggota parti yang berjaya meneruskan agenda reformasi, di mana saya ‘claim victory’,” katanya ketika diminta mengulas mengenai teguran Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya beliau menghormati proses pemilihan PKR.

Beliau berkata demikian di sidang akhbar selepas merasmikan Kongres Nasional Tahunan Wanita dan Angkatan Muda Keadilan di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin, Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad dan calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Amirudin Shari.

Azmin berkata, beliau memaafkan pihak yang membuat laporan berkenaan dan harap mereka lebih berhati-hati di masa hadapan.

“Saya tetap patuh peraturan parti dan menghormati JPP,” katanya.

Anwar dilaporkan menegur tindakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu yang mengumumkan beliau berjaya menewaskan Rafizi Ramli dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR.

Sementara itu bekas Menteri Besar Selangor itu turut menyuarakan keyakinannya bahawa anggota PKR akan kembali bersatu selepas pemilihan barisan pemimpin yang baharu sahaja selesai itu.

“PKR tidak pernah sunyi dari ujian tetapi dengan kematangan dan kesediaan kepimpinan untuk melihat masa hadapan kita dapat menyelesaikan banyak masalah.

“Memang timbul pelbagai isu, masalah semasa proses pemilihan tetapi ianya adalah proses demokrasi,, selesai pemilihan PKR akan kembali bersatu dan menjadi parti yang kuat,” katanya.-BERNAMA.