Malaysia Dateline

“Saya tidak pernah kata saya ditipu oleh Jho Low” – Najib

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menafikan pernah menyatakan bahawa beliau mengakui telah ditipu oleh ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho atau Jho Low dalam isu 1MDB.

Sebaliknya Najib berkata kenyataan itu telah ‘dikilas’ portal berita berkenaan.

“Saya kata kalaulah dibuktikan (penipuan) maka itulah (benarlah) kita telah ditipu oleh dia. Saya juga nak bagi tahu, saya tidak pernah menafikan saya mengenali dia… saya tidak nafikan.

“Saya katakan saya dengan dia berurusan secara profesional dan saya menggunakan beliau dalam urusan kita dengan Arab Saudi dan Emirah Arab Bersatu (UAE) untuk tarik pelabur ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Sembang Santai bersama Mantan Perdana Menteri di Dewan Umno Maran di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Umno Bahagian Maran Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

Menurutnya hasil hubungan baik yang berjaya dijalinkan itu, ia telah memberi manfaat terhadap negara termasuk penambahan kuota 10,000 haji selain penyediaan dua buah pesawat jumbo khas untuk membawa pelajar Malaysia keluar dari negara itu semasa berlaku Arab Springs.

Sebuah portal berita pada Khamis didakwa telah memutar belit temubual Anggota Parlimen Pekan itu bersama sebuah akhbar dengan meletakkan tajuk “Memang Kita Sudah Ditipu Jho Low, Kata Najib’ sebelum mengubah kembali tajuk berkenaan kepada “Mungkin Kita Sudah Ditipu Jho Low, Kata Najib.

Sementara itu Najib percaya kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan mengharamkan parti Umno, walaupun mereka mempunyai kuasa untuk melakukannya.

Katanya, secara asasnya tidak ada sebarang kesalahan besar yang dilakukan oleh parti itu sehingga membolehkan kerajaan PH mengharamkannya.

Najib berkata jika tindakan itu dilakukan ia juga hanya akan mendatangkan masalah kepada kerajaan.

“Tidak dinafikan mereka (PH) ada kuasa untuk mengharamkan Umno, tapi kenalah ada asas yang boleh menyokong tindakan (mengharamkan Umno), namun dalam bacaan saya, ini tidak akan berlaku (pengharaman Umno).

“Bagaimanapun usaha untuk ‘mencuri’ anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) sedang berjalan… ada ditawarkan untuk menyertai mereka (PH) dan ada juga yang diugut jika tidak mengikut, kononnya pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menahan mereka,”katanya.

Bagaimanapun, katanya beliau tidak mempunyai bukti tentang perkara itu dan hanya mendengar cakap-cakap tentang perkara berkenaan.