Malaysia Dateline

Anwar Ibrahim 2

Saya tidak pernah minta Tun M mohon maaf, kata Anwar

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak pernah meminta Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memohon maaf berhubung perselisihan mereka pada 1998.

“Saya telah memaafkan beliau atas kapasiti peribadi, begitu juga bekas perdana menteri Najib. Saya tidak pernah meminta beliau memohon maaf dan saya sentiasa tegas dengan anda (pemberita) bahawa saya berpuas hati dengan perilaku dan kesediaan beliau untuk bekerjasama dengan saya.

“Lupakan masa lalu dan tumpukan kepada masa depan, anda (pemberita) yang membangkitkan perkara itu,” kata beliau kepada pemberita pada sambutan ulang tahun ke-150 kelahiran Mahatma Gandhi di Pusat Kebudayaan India Netaji Subhash Chandra Bose di Kuala Lumpur semalam lapor Bernama.

Anwar diminta mengulas wawancara Dr Mahathir dalam program bual biacara HARDtalk menerusi BBC apabila Dr Mahathir menyatakan bahawa beliau tidak pernah memohon maaf kepada Anwar.

“Tetapi dengan Tun Mahathir, Saya tidak fikir ia perlu kerana beliau komited kepada agenda pembaharuan, beliau telah menerima saya sebagai rakan. Saya fikir itu sudah cukup untuk menceritakan segala-galanya,” kata beliau.

Terdahulu, dalam ucapannya pada majlis itu, Anwar juga menyentuh mengenai amalan pemaafan dan prinsip yang diterapkan oleh Gandhi, tokoh pembaharuan India yang ulung dan juga tokoh yang memperjuangkan kemerdekaan India.