‘Saya tidak terkilan, mereka tidak fahami erti perjuangan’

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin sedikit pun tidak berasa terkilan dengan keputusan Naib Presiden dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu mengumumkan keluar parti semalam.

“Keputusan yang dibuat oleh mereka adalah pilihan sendiri, tiada gesaan.

“Bagi saya itu hak mereka, kita hormati hak mereka… tidak mengapa,” ujarnya.

Beliau ditemui selepas menghadari Ceramah Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi  anjuran Pakatan Harapan di Sri Rampai malam tadi.

Setiausaha Bersatu Datuk Shaharuddin Md Salleh semalam, mengesahkan parti itu menerima keputusan peletakan jawatan Datuk Hamidah Osman selaku Naib Presiden dan Ketua Penaja Bersatu Gopeng serta ahli Bersatu berkuatkuasa serta merta semalam.

Sebelum itu Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Anina Saadudin melalui sidang media yang diadakan di  Bangi  mengumumkan peletakan jawatannya dan mengumumkan keluar parti kerana kecewa dengan pucuk pimpinan parti itu.

Mengulas mengenai keputusan yang diambil oleh pimpinan utama parti itu semalam serentak, Muhyiddin hanya berkata, keputusan dibuat itu di kalangan mereka yang tidak memahami erti perjuangan sebenar.

“Setiap hari juga ada ahli yang menyertai kita, ramai  yang baharu .Sebahagian mereka tidak memahami maksud perjuangan sebenar, dia fikir mudah…itu biasa (keluar parti).

“Sedangkan inilah cabaran bagi kita. Saya tidak berasa terkilan atau galat dengan keputusan yang mereka buat,” ujarnya tanpa mahu mengulas lanjut.

Ditanya mengenai kekosongan dua jawatan bagi Naib Presiden dan MPT yang ditinggalkan Hamidah dan Anina itu, Muhyiddin berkata, pihaknya akan membawa perbincangan di peringkat majlis tertinggi parti itu dan merujuk kepada pakar undang-undang terlebih dahulu.

“Jawatan naib preseidn dan majlis pimpinan tertinggi kita akan rujuk kepada pakar undang-undang. Nanti kita akan but keputusan berkaitan keperluan mengisi kekosongan jawatan ditinggalkan,” ujarnya.

Selain Hamidah dan Anina sebelum ini salah seorang pengasas Bersatu Kamarulazman Habibur Rahmah turut melepaskan jawatan sebagai Setiausa Kerja parti pada April lalu kerana mendakwa parti itu hanya mengutamakan jawatan bukannya berjuang demi rakyat.