Malaysia Dateline

Saya tinggalkan SRC kerana pengarah urusan, kata bekas pengerusi

Bekas pengerusi lembaga pengarah SRC International Sdn Bhd, Ismee Ismail hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi, beliau meletak jawatan daripada syarikat itu kerana tidak bersetuju dengan cara pengurusan pengarah urusannya.

Saksi ke-39 dalam perbicaraan kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa Najib Razak hari ini berkata, sebahagian besar sebab beliau meletak jawatan disebabkan cara Nik Faisal Ariff Kamil menguruskan akaun dan kewangan SRC.

“Kebanyakan tindakan berkaitn SRC dilakukan Nik Faisal atas kapasitinya sebagai pengarah urusan dan ketua pegawai operasi syarikat,” katanya ketika membaca keterangan saksi seprti dipetik laporan FMT hari ini.

Katanya, beliau meletak jawatan pada 6 Mei 2014, tetapi ia hanya berkuat kuasa 15 Ogos tahun sama.

Sepanjang tempoh itu, Ismee berkata, beliau tidak aktif dalam pengurusan SRC.

Ismee berkata, beliau dilantik sebagai pengarah SRC pada 7 Januari 2011 ketika syarikat itu di bawah 1MDB.

Beliau dilantik pengarah bukan eksekutif 1MDB pada 2009 ketika syarikat itu di bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan).

Ismee berkata, Najib yang merupakan perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu melantiknya sebagai pengerusi SRC.

Najib berdepan 6 pertuduhan pengubahan wang dan pecah amanah dalam pemindahan RM42 juta ke akaunnya dari SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Beliau juga didakwa menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri dengan memberi jaminan kerajaan ke atas pinjaman RM4 bilion SRC International daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).