Malaysia Dateline

Saya wakili AMANAH bukan DAP, kata Khalid kesal laporan Utusan

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad mendakwa kenyataan beliau berhubung pendirian DAP terhadap kerjasama dengan Umno, telah diambil di luar konteks perbincangan dan tidak menggambarkan maksud yang sebenar.

Menurutnya, adalah tidak wajar apabila kata-katanya dipetik seolah-olah mewakili pendirian DAP kerana temubual yang berlangsung tempoh hari adalah berhubung pendirian AMANAH.

Beliau menganggap laporan yang diterbitkan itu berniat jahat bertujuan mencetuskan perbalahan antaranya dan rakan-rakan DAP yang lain.

“Setelah menjelaskan pendirian AMANAH, saya ditanya pemberita bagaimana pula dengan pendirian DAP?

“Saya menyebut ‘tiada masalah’ dengan maksud, sepertimana juga dengan AMANAH, DAP akan memerlukan perbincangan dan rundingan berhubung syarat-syarat kerjasama dengan ahli-ahli Parlimen Umno yang ingin menyokong Anwar.

“Dan seingat saya, selepas itu saya turut menambah ‘tetapi, perlu tanya DAP’.

“Akhirnya ianya terpulang kepada DAP sama ada mereka bersedia untuk bekerjasama atau sebaliknya,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, portal Utusan Malaysia melaporkan bahawa Khalid berkata, DAP tiada masalah untuk bekerjasama dengan Umno.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kemudiannya menyelar kenyataan Khalid dan berkata, parti itu tidak akan bekerjasama dengan Umno di bawah pimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak.

Sementara itu Khalid berkata, dalam menjelaskan pendirian AMANAH, beliau telah menyatakan kerjasama dengan Ahli Parlimen Umno adalah mungkin, tetapi sepertimana dengan persoalan kerjasama, ianya perlu bergantung kepada syarat-syarat yang bakal diperhalusi.

Menurutnya, rundingan perlu untuk memungkinkan ianya berlaku dan syarat-syarat pasti akan dibincang dan ditetapkan bila tiba masanya.

Bagaimanapun beliau menegaskan, tidak pernah memberi apa-apa temubual berhubung pendirian DAP mengenai apa jua isu kepada mana-mana akhbar, sama ada berbahasa Inggeris atau Mandarin.