Sayang sekali kematian Utusan dianggap tidak bermaruah?

Sayang sekali kematian Utusan dianggap tidak bermaruah?

Penutupan operasi akhbar Utusan Malaysia dilihat episod sedih dalam dunia kewartawanan tanahair khususnya alam persuratkhabaran bahasa Melayu.

Utusan Melayu mempunyai sejarah tersendiri dan unik, terutama berkaitan perjuangan orang Melayu sejak zaman penjajah lagi dan usaha mengisi kemerdekaan termasuk berdepan penguasa anak watan sendiri.

Wibawa Utusan sudah terjejas teruk sejak peristiwa mogok membantah penguasaan Umno pada 1961.

Bagaimanapun, wibawa akhbar ulung bahasa Melayu ini tercemar teruk apabila Umno mengambil alihnya dan meletakkan Utusan di bawah telunjuknya. Mogok Utusan yang diketuai ketua pengarangnya Said Zahari hanya tinggal kenangan dan simbolik batu nisan menguburkan kebebasan akhbar.

Jika sekadar mendukung kerajaan Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional (BN), tidaklah menjadi masalah besar, tetapi apabila Utusan bertindak umpama lidah rasmi Umno, bukan sahaja menyerang pembangkang, tetapi mengadu-domba, menyebarkan fitnah, memanipulasi cerita sehingga tercampak segala etika kewartawanan, maka ia satu tragedi hitam buat media Malaysia.

Pas misalnya, dalam tempoh yang panjang menjadi serangan agresif tidak bertamadun Utusan. Sudahlah hampir semua laporan mengenainya dibuat dari sudut negatif, tiada peluang diberi kepada pemimpin Pas untuk menjawab segala tuduhan dan dakwaan.

Said Zahari, pengarang terbaik pernah dilahirkan Utusan, simbol perjuangan kebebasan akhbar.

Kempen PRU1986 menyaksikan situasi paling jelek media termasuk Utusan Malaysia, dengan menyiarkan kartun dan karikatur politik tidak senonoh, bagi memburuk-burukkan gabungan pembangkang.

Begitu juga apabila Parti Melayu Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah ditubuhkan menjelang PRU1990, diikuti kebangkitan Reformasi 1998 dan kemunculan Parti Keadilan Nasional 1999, sukar mencari sudut positif parti-parti berkenaan. Malah laporan tentang Anwar Ibrahim, sosok paling digeruni elit pemerintah ketika itu turut dipadamkan terus, selepas mengaibkannya dengan begitu dahsyat.

Memang tiada “padang permainan sama rata” bagi pemain atau aktor pilihan raya di Malaysia. Media, terutama akhbar bahasa Melayu dikawal ketat. Permit hanya diberikan kepada individu atau syarikat yang diyakini penyokong pemerintah. Akta Mesin Cetak dan Penerbitan sedia untuk menamatkan atau dalam bahasa lebih lunak, tidak memperbaharui, permit mana-mana penerbitan yang memberi sedikit ruang selesa kepada pembangkang.

Oktober 1987, berlaku ketegangan politik yang berpunca dari masalah dalaman Umno dan krisis kehakiman. Operasi Lalang di bawah ISA dilancarkan; lebih 100 aktivis ditahan tanpa bicara. Tiga akhbar, Watan, The Star dan Sin Chew digantung. Akta Mesin Cetak dan Penerbitan diperketatkan lagi, manakala ruang untuk semakin kehakiman ditutup dan denda lebih keras dikenakan, termasuk kepada pencetak.

Berbanding akhbar-akhbar lain, Utusan mengambil pendirian saling tidak tumpah lidah rasmi Umno. Saya yakin sidang editorial tertinggi Utusan, begitu juga dasar pemberitaannya ditentukan oleh mesyuarat Majlis Tertinggi Umno. Presidennya atau kumpulan strategik media Umno, ada akses langsung untuk mempengaruhi akhbar tersebut. Malah ada ketikanya, difahamkan polis Cawangan Khas pun boleh campur tangan dalam urusan editorial.

Utusan seperti tidak mengambil sebarang iktibar apabila jualannya mula merosot pada akhir 1990-an. Ia tetap dengan peranannya sebagai bahan propaganda murahan untuk melanyak seteru politik Umno. Banyak juga kes saman fitnah yang berakhir dengan kekalahan dan terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi.

Mungkin pengurusan tertinggi Utusan yakin Umno akan sentiasa membantunya daripada aspek kewangan, termasuk menyalurkan projek kerajaan yang membawa keuntungan besar, selain percaya akhbar berkenaan terus dilanggan agensi awam. Di kala Umno di hujung kuasa, nasib Utusan sudah tidak keruan; pasaran mula menghukumnya dan fenomena digital mengasak survival media tradisi.

Umno sentiasa memperalatkan Utusan untuk propaganda murahan politiknya tetapi bersikap lepas tangan apabila syarikat akhbar ini berdepan masalah besar.

Utusan mungkin mempunyai banyak sisi positif lain, tetapi pengabdian mutlaknya kepada Umno, makin menambahcepat ia ditarik turun. Profesionalisme pengurusannya juga dipersoalkan walaupun mendapat sokongan kewangan berterusan. Ada pihak pula mendakwa kegagalannya dari segi perniagaan merupakan petanda kelemahan ketara pentadbiran Melayu.

Saya sebenarnya tidak berminat untuk mengupas eksperimen Utusan ini. Yang penting, ia ditutup bukan kerana tindakan represif kerajaan atau dasar kukubesi kerajaan. Utusan ditutup apabila penaungnya, Umno hilang kuasa, dan pasaran menolaknya. “Jenayahnya” tidak dapat dilupakan, bukan sahaja terhadap musuh politik Umno, malah kepada Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad sendiri ketika mengetuai kempen menyelamatkan negara daripada kerakusan Najib Razak. Liputannya bukan sekadar berat sebelah tetapi boleh dianggap “kejam dan tiada kasihan belas”.

Kita cukup bersimpati dengan nasib 800 pekerja Utusan. Mereka memikul beban daripada polisi dan pendekatan yang sengaja dipilih pengurusan tertinggi, iaitu untuk menjadi hamba suruhan Umno. Namun begitu, zaman suram akhbar cetak bukan hanya melanda Utusan, malah menerjah hampir semua syarikat penerbitan lain. Cabaran buat setiap pengurusan terbabit menangani kemelut serius sejagat ini.

Sekurang-kurangnya insiden Utusan ini tidak mencalarkan imej kerajaan baharu walaupun sedikit. Hayatnya bukan dipancung oleh aparat kerajaan. Media semakin bebas, tiada lagi kongkongan atau sekatan mengarut, malah seolah-olah tiada kawalan langsung. Hendaknya, jika Utusan mahu dihidupkan semula, biar ia beroperasi penuh integriti dan dipandu etika kewartawanan setulusnya. Akhbar bukan tidak boleh memihak, tetapi jangan sampai tergadai prinsip atau terjual kemerdekaannya sehingga khalayak hilang kepercayaan.

Biarlah sejarah Utusan menjadi pengajaran dan iktibar terbaik. Berpada-padalah menyokong parti politik walaupun ia lama di posisi pemerintah. Tidak selamanya akhbar itu bernafas atau diterima pembaca, tetapi jika ajal sampai, moga kematian itu bermaruah.