Malaysia Dateline

Sayangi dan pertahankan kemerdekaan, kata Ketua Awan Perlis

Sempena Hari Kemerdekaan yang ke 62, sebagai rakyat Malaysia, melakukan yang terbaik untuk menghayati tema yang dipilih iaitu ‘Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih’ menjadi tanggungjawab semua rakyat dalam negara ini.

Demikian dinyatakan oleh Ketua AWAN Negeri Perlis, Che Mazlina Che Yob.

Malah katanya lagi, negara ini dan segala yang diwarisi di atas bumi tercinta ini wajar untuk disayangi dan dipertahankan.

“Sayangi kemerdekaan, sayangi kesejahteraan tanpa sifat sabar, prihatin, toleransi, lemah lembut, sopan santun, pemaaf tidak akan wujud kesejahteraan.

“Setiap warga perlu menjaga hubungan sesama manusia dan mengelakkan daripada berlakunya konflik bagi mengekalkan keharmonian.

“Sayang menuntut pengorbanan jiwa, perasaan wang ringgit dan juga keringat empat kerat, ” jelasnya.

Beliau juga berkata, Malaysia Bersih, membawa pengertian luas bahawa ianya bersih pakaian, bebas dari pencemaran, bersih hati, jujur dan ikhlas, suci dan murni serta bersih zahir dan batin.

“Bersih bermakna bebas pada anasir yang tidak baik seperti pengaruh budaya kuning, amalan fitnah-memfitnah, tuduh-menuduh, panggilan dan label-melabel yang buruk serta amalan-amalan jelek dan keji yang lain.

“Setiap ahli masyarakat wajar membudayakan amalan bersih dan membersihkan seperti kata Hassan Al-Banna, ‘apabila membasuh pinggan kita akan memiliki dua perkara, pertama pinggan itu bersih, kedua tangan kita pun bersih.

“Begitu jugalah dalam diri kehidupan kita, tatkala mengajak orang lain kearah kebaikan, seharusnya kita sebenarnya membersihkan diri kita pada masa yang sama jua, ” ujar beliau lagi.

Sehubungan itu tambahnya, semua golongan masyarakat harus menghayati erti sebenar kemerdekaan negara dan mengutamakan kepentingan negara dalam apa jua aspek sehingga sanggup mengorbankan diri, jiwa dan raga sepertimana yang dilaksanakan oleh para

perajurit dan anggota keselamatan dari pelbagai cabang termasuk di darat, udara dan juga laut.