Malaysia Dateline

Sayap Muda Pejuang sahut gesaan AMANAH dan DAPSY

Sayap Muda Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menyatakan kesediaan parti itu untuk menyokong segala rundingan dan usaha bagi menubuhkan blok pembangkang yang berpadu sama ada di dalam Dewan Rakyat mahupun dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ketuanya, Abu Hafiz Salleh Hudin berkata, Pejuang Muda mengalu-alukan sikap rasional pimpinan muda dalam parti politik yang bertindak sebagai pengimbang antara ketegasan pimpinan utama parti dan realiti akar umbi.

Menurutnya, akar umbi telah menyaksikan bagaimana kepimpinan parti-parti pembangkang gagal menunjukkan kekuatan yang sebenar apabila menolak untuk duduk bersama dalam membuat sesuatu keputusan.

“Watak-watak perwakilan baru dan segar seharusnya ditampilkan bagi menerajui perbincangan dan rundingan. Tetapi tokoh-tokoh senior masih kekal sebagai kumpulan penasihat utama.

“Kesudian dan jiwa besar senior parti dalam memberikan laluan ini amat penting dan sangat dihargai kerana salah faham mahupun halangan yang wujud tidak seharusnya memperjudikan masa depan politik baharu Malaysia dan aspirasi golongan muda.

“Pejuang Muda yakin tokoh-tokoh senior setiap parti akan menyambut baik pelawaan untuk kembali ke meja rundingan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Pemuda AMANAH dan Pemuda DAP (DAPSY) bertegas menggesa agar semua komponen parti di blok pembangkang kembali semula ke meja rundingan dan membina momentum baharu dalam menentang kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu kata Abu Hafiz, ketika ini Malaysia memerlukan barisan pembangkang yang kukuh untuk menyelamatkan negara dari kegagalan pentadbiran PN sekaligus menyelamatkan negara dari terus dikuasai
kumpulan kleptokrat yang tiada integriti.