Malaysia Dateline

Sayap pemuda PKR terbawa kesan rodokan dari kumpulan pengkhianat Azmin?

Ketua Pemuda AMANAH Terengganu, Zamir Ghazali membidas Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang dianggap mempunyai perangai yang sama dengan kumpulan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau menegaskan langkah menerima rakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) AMANAH dan kenyataan media dari Setiausaha AMK, Syukri Razab bukan gerak laku untuk memperkuat Pakatan Harapan (PH).

Sebaliknya, kata Zamir, hal itu lebih kepada langkah untuk melukakan kawan serta cubaan membalas dendam terhadap sikap AMANAH yang sentiasa menyeru kepada perpaduan dan kerjasama antara parti pembangkang.

Zamir Ghazali

“Satu niat dan strategi yang hodoh jika ini disulam dengan tawaran jawatan politik sebagai calon (kerusi Parlimen misalnya) untuk bertanding demi menarik pimpinan AMANAH melompat.

“Ini perangai yang sama dengan kumpulan Azmin Ali. Apakah kamu AMK masih terbawa kesan rodokan dari kumpulan pengkhianat si Azmin ini? Sehingga lagak laku seakan kuah tumpah ke nasi,” tempelaknya.

Dalam masa sama, Zamir mengingatkan AMK Malaysia agar tidak usah berselindung di sebalik topeng hujah pro Tun Dr Mahathir Mohamad atau pro Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“AMANAH rakan yang awal dan tekal menyatakan sokongan Anwar adalah calon Perdana Menteri. Ada SD dari MP pimpinan AMANAH kepada Ketua Umum anda tanda solidariti.

“Kalau AMK tidak mahu kumpulan Tun, desak saja presiden parti anda, Anwar sebagai Pengerusi PH perlu segera keluarkan ketetapan yang jelas iaitu PH menolak sepenuhnya kerjasama dengan Pejuang.

“Saya yakin jika Pengerusi PH mengeluarkan arahan tersebut, komponen parti PH akan turut serta. Jangan jadi pemimpin yang tiada telur untuk buat keputusan,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan bagaimana pimpinan PKR sebelum ini konsisten dengan agenda reformasi dalam PH untuk menggazetkan Akta Lompat Parti.

“Justeru, tunjukkanlah dulu teladan dengan menghalang dan menolak sekiranya ada hal seumpama ini di dalam kerangka PH kita.

“Berkelakuanlah dengan baik dan bukan berterusan dengan perangai menusuk penetrasi curi atau membiarkan diri menjadi parti kena rodok,” tempelak Zamir lagi.