Sayu lihat bapa hantar anak jalan kaki 2km, guru kelas hadiahkan motorsikal

Oleh KIM SYAZIE

Seorang guru hairan apabila anak muridnya sering keletihan dan berpeluh-peluh setiap pagi ketika ketika hadir ke sekolah.

Menerusi perkongsian di laman Facebook milik Mohd Fadli Salleh, guru tersebut kemudian bertindak mencari punca kanak-kanak itu terlihat lesu.

Rupa-rupanya motor ayah kanak-kanak itu telah ditarik oleh pihak bank kerana sudah empat bulan tidak membuat sebarang bayaran.

Menurut Cikgu Fadli, motorsikal itu merupakan sumber pendapatan utama keluarganya kerana lelaki terbabit merupakan seorang penghantar barang Grab.

Tidak larut dalam kekecewaannya, bapa itu tidak pernah patah semangat dalam memastikan anaknya mendapat pendidikan.

“Ada orang bagi surat tunggakan beribu jumlahnya. Terduduk si ayah, motosikal kenderaan utama untuk cari makan kena tarik.

“Setiap hari dia teman anak dengan berjalan kaki. dua kilometer (km) pergi, dua km balik. Total lapan km ulang-alik jalan kaki semata-mata untuk anak dapat ilmu,” kongsinya.

Kagum dengan perjuangan bapa itu, cikgu itu membuat keputusan untuk menghadiahkan sebuah motorsikal untuk meringankan bebannya.

Selesai majlis orentasi, Cikgu Fadli kemudian memberi kejutan dengan membawanya ke kedai untuk membeli motosikal.

“Budi ini bukan untuk dibalas. Budi ini untuk abang kembalikan pada orang lain bila abang senang sikit di hari akan datang,” balas Fadli atas ucapan terima kasih bapa itu.

Baca juga: Syarikat wajibkan ‘overtime’, lelaki ini beri tips elak majikan toksik