Sayu mengenangkan Stesen Keretapi Tanjong Pagar

Sayu mengenangkan Stesen Keretapi Tanjong Pagar

Koresponden Bernama di Singapura ingin berkongsi pengalaman berada di republik itu. Dan minggu ini Massita Ahmad menulis mengenai lawatan beliau ke Stesen Keretapi Tanjong Pagar dengan tinggalan sejarahnya.

Perasaan bercampur baur ketika mata menatap bangunan Stesen Keretapi Tanjong Pagar yang diilhamkan perekanya hampir menyamai stesen Helsinki di Finland.

Teruja dan pada masa yang sama perasaan sayu tiba-tiba menerjah.

Terletak di sebelah Keppel Road, ia diwartakan sebagai nasional monumen bagi Singapura pada 8 April 2011, oleh Preservation of Monuments Board (PMB).

Tiada apa-apa aktiviti berlangsung ketika saya dan empat lagi rakan sampai di perkarangan bangunan tiga tingkat ini pada awal pagi Feb 9 yang lepas.

Saya memilih untuk tiba seawal mungkin supaya tidak berebut-rebut dengan pengunjung lain untuk merakam tempat bersejarah yang mula dibina sekitar tahun 1929 oleh syarikat jurubina dari Perancis ini.

Kini monumen berusia 85 tahun ini hanya dibuka kepada orang awam pada tarikh tertentu ketika cuti umum seperti sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini.

Ia juga menjadi tempat berlangsungnya acara tertentu seperti Green Corridor Run 2016 pada 6 Mac lepas di mana pelari marathon menyusuri perjalanan sejauh 10.5 km bermula dari stesen ini hinggalah ke Bukit Timah Rail Station.

Jika tiada aktiviti tersebut ia hanya sebuah bangunan yang ditinggalkan ‘sepi’ dan ‘kosong’.

Hajat untuk berkunjung ke stesen ini telah tersimpan lama kerana bagi saya ia sangat istiwewa tambahan pula ia ada kaitannya dengan Malaysia satu ketika dahulu.

Saya pernah berbual dengan seorang ‘pak cik’ sebelum bertugas di republik ini, yang menyatakan Stesen Keretapi Tanjong Pagar adalah satu daripada tempat ‘istimewa’ bagi dirinya, bukan sahaja untuk menaiki kereta api malahan menikmati menu makanan India di stesen itu.

PLATFORM PERPISAHAN

“Jika mahu ke Tanah Melayu, kami akan tiba lebih awal untuk menikmati makanan ini terlebih dahulu. Keriuhan enjin dan siulan serombong kereta api menambah ‘rencah’ kesedapan makanan ini,” katanya.

Saya yakin yang dimaksudkan ‘pak cik’ adalah satu daripada dua buah gerai makan India-Muslim yang pernah beroperasi 24 jam.

Difahamkan ia diusahakan oleh ‘Hasan brothers’ yang datang ke Singapura pada tahun 1958 dan papan tanda gerainya masih kekal di dinding bangunan stesen itu.

Menurut ‘pak cik’ stesen ini bukan sahaja merakamkan sejarah ‘perpisahan’ antara dua negara.

“Perpisahan antara saudara mara, rakan taulan dan kekasih hati juga berlaku di atas platform stesen itu,” katanya sambil saya pula mula membayangkan keadaan itu.

“Banyak airmata berlinangan di sini… bersama pelukan dan lambaian terakhir,” tambahnya dengan nada yang sayu.

Ingatan terhadap perbualan antara saya dan ‘pak cik’ terganggu apabila terdengar gelak ketawa rakan-rakan mula mengisi ruang sepi pagi itu.

Mereka mula bergambar dengan pelbagai aksi menarik termasuk ‘berbaring’ berlapikkan kayu-kayu usang landasan kereta api itu.

“Kami mahu bikin ‘kulit album’,” kata mereka sambil berbaris bak gaya ahli kumpulan rock pula di atas besi-besi landasan yang masih teguh tidak dimamah hujan dan panas itu.

Saya hanya melihat gelagat mereka dari atas platform stesen.

LATAR MENARIK

Menerusi pembacaan, saya mengetahui bahawa stesen ini pernah membenar untuk menghantar keluarga dan rakan taulan sehingga ke platform dengan membayar 20 sen tetapi selepas 18 Dis 1988, hanya penumpang dibenarkan berada di atasnya.

Sebelum stesen ini ditutup, ia menempatkan sebuah kedai yang dikenali sebagai ‘Habib Railway Book Store’ pada tahun 1936 dan sebuah ‘money changer’ di sebelahnya yang diusahakan oleh pemilik yang sama.

Stesen tiga tingkat ini juga menempatkan hotel 34 bilik yang diusahakan oleh Lim Jit Chin dan keluarganya lebih 60 tahun.

Ketika zaman kegemilangannya, hotel ini kerap menerima tetamu dari keluarga Diraja Malaysia kerana layanannya dikatakan menyamai Raffles Hotel.

Pada tahun 1992, Lim menerima surat dari ‘The Guinness Book of Records’ menyatakan beliau adalah orang kedua di dunia menguruskan sebuah hotel paling lama.

Niat hati ingin memasuki ke dalam bangunan stesen itu bagi melihat sendiri tinggalan hotel tersebut namun apa kan daya ruang masuknya dihalang jeriji besi dan dikunci rapi.

Selepas Tanah Melayu merdeka 1957, stesen ini dipertanggungjawabkan kepada Keretapi Tanah Melayu sehinggalah ia bersetuju mengosongkan stesen ini dan berpindah ke Woodlands Train Checkpoint pada 2011.

Sebagai ganti Malaysia dijanjikan enam keping tanah di republik ini untuk dibangunkan bersama kerajaan Singapura.

Saya tidak berada di sini pada pukul 11.00 malam 30 Jun 2011, ketika Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar memandu kereta api terakhir keluar dari stesen ini disaksikan oleh rakyat kedua-dua negara.

Sejurus tengah malam, stesen itu ditinggal sepi, ditutup secara rasmi dan pemilikannya diserahkan kepada kerajaan Singapura, dan bermulalah Stesen Tanjong Pagar sebagai sejarah.

TAGS