Pantauan polis cawangan khas (SB) sewajarnya hanya dilakukan kepada mereka yang dipercayai merbahaya, mengancam keselamatan dan keharmonian negara bukannya kepada rakyat jelata atau kerabat diRaja, tegas Jurucakap Callengers Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
“Bagi saya perkara ini sangat keji dan memalukan. Pantauan dari SB sepatutnya hanya dibuat kepada mereka yang merbahaya dan dianggap sebagai ancaman.
“Adakah Tengku Mahkota dan Sultan Johor satu ancaman kepada keselamatan dan keharmonian negara?
“Apa yang bersangkutan siapa yang memberikan arahan agar perbuatan keji ini dilakukan? soalnya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline.
Syed Saddiq mengulas kenyataan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di dalam facebook Johor Southern Tigers semalam yang mendakwa beliau kini dipantau oleh polis cawangan khas atas sebab yang beliau sendiri tidak ketahui.
Tunku Ismail dipetik berkata selain dipantau, pihak SB juga mahukan dokumen mengenai dirinya dan ayahandanya Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.
“Saya tidak faham mengapa telefon saya dicuri dengar. Saya tidak faham mengapa pergerakan saya dipantau oleh ‘Special Branch’. Saya tidak faham mengapa mereka perlukan fail mengenai saya dan ayahanda saya di (Ibu Pejabat Polis) Bukit Aman,” dakwanya.
Tengku Ismail menafikan dirinya sebagai seseorang yang boleh dianggap berbahaya atau pengganas, sebaliknya beliau adalah seorang pemimpin yang prihatin terhadap rakyat Johor.
“Saya tidak berbahaya. Saya tidak pernah membunuh sesiapa kecuali bola sepak Malaysia,” kata TMJ seperti dipetik.
Menurut Syed Saddiq lagi, sebagai anak kelahiran Johor,beliau tidak dapat menggelak perasaan marah apabila kerabat diraja yang telah banyak membantu dalam membangunkan negeri Johor diperlakukan sedemikian.
“TMJ dan ayahanda baginda Sultan merupakan antara pemimpin yang paling berkaliber dan berjiwa rakyat.
“Mereka membela nasib rakyat dan sentiasa memperjuangkan suara rakyat menentang ketidakadilan yang sedang berlaku. Namun sebagai balasan, mereka dipantau seperti penjenayah.
“Saya sedar bahawa kedudukan saya amat rendah sekiranya ingin dibandingkan dengan TMJ, tetapi saya juga turut faham perasaan apabila dipantau sebegitu.
“Saya tertanya-tanya apa yang mencetuskan perlanggaran privasi ini secara tiba-tiba? Adakah kerana kerabat diRaja Johor ini terlalu vokal menegur salah laku pentadbiran kerajaan terutamanya dalam kes 1MDB?” soal Syed Saddiq lagi.
Beliau turut menceritakan pengalaman yang pernah dilaluinya, apabila dipanggil SB kerana mula bersuara menentang ketidakadilan kerajaan terhadap pemimpin parti dan rakyat.
“Pengalaman saya yang pernah dipanggil berjumpa SB hampir setiap minggu. Bila telefon bimbit saya dicuri dengar dan pergerakan diekori, ini semua merupakan satu pelanggaran privasi.
“Kehadapan DYAM TMJ, patik sudah berjumpa dengan beberapa orang ahli SB sendiri, mereka begitu baik dan profesional dalam bertugas.
” Patik pasti SB tidak akan bertindak sedemikian rupa sekiranya mereka tiada arahan di pihak atasan, persoalannya siapa yang memberikan arahan?
“Ramai yang mungkin akan berkata saya masih mentah dan belum kenal selok belok pemerintahan dengan betul. Apa yang pasti sekiranya kabinet atau mereka yang berkuasa mempunyai masa dan sumber yang banyak, janganlah gunakan untuk mengekori dan memantau rakyat biasa seperti saya dan pemerintah negeri yang sudah terang lagi bersuluh tidak mungkin akan membawa nahas kepada negara.” ujarnya.
Sambung Syed Saddiq lagi, mungkin sudah tiba masa pentadbiran negara dijalankan dengan lebih baik dan masalah-masalah yang sedang dihadapi rakyat diselesaikan secepat mungkin.
“Jangan terlalu taksub ingin terus berkuasa sampai rasa hormat pada pemimpin diraja pun hilang.
“Oleh itu saya mengesa siapa yang memberi arahan kepada pegawai cawangan khas untuk mengintip kerabat diRaja Johor perlu bertanggungjawab dan jemaah menteri perlu memohon maaf kepada kerajaan negeri Johor.
“Kalau mahu rakyat berhenti menentang, kepimpinan negara perlu lebih matang.” tegasnya.