SC dapatkan maklum balas awam cadangan rangka kerja ICO, pendanaan awam hartanah

SC dapatkan maklum balas awam cadangan rangka kerja ICO, pendanaan awam hartanah

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mengeluarkan dua kertas perundingan untuk mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai cadangan rangka kerja bagi tawaran syiling awal (ICO) dan pendanaan awam hartanah.

ICO merupakan kaedah pengumpulan dana alternatif yang memanfaatkan teknologi lejar, termasuk rantaian blok (blockchain), melibatkan penerbitan token digital oleh penerbit yang berhasrat mengumpul dana untuk sebuah projek atau usaha sama.

“Kertas perundingan tersebut membincangkan cadangan rangka kerja, antara lainnya, kelayakan penerbit, keperluan melakukan pendedahan yang telus dan mencukupi, serta penggunaan hasil daripada ICO,” kata SC dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, kertas perundingan mengenai rangka kerja pendanaan awam hartanah merupakan susulan daripada pengumuman Belanjawan 2019, yang mengenal pasti platform pendanaan awam sebagai saluran bagi sumber pendanaan alternatif kepada pembeli rumah kali pertama di samping menyediakan pelabur akses kepada kelas aset baharu.

SC mempelawa maklum balas orang ramai mengenai cadangan rangka kerja pengawalseliaan tersebut, yang antara lainnya, akan menetapkan keperluan kelayakan pembeli rumah kali pertama, kriteria hartanah yang boleh disenaraikan di platform tersebut, obligasi pengendali platform dan had pembiayaan.

Dua kertas perundingan itu kini boleh didapatkan menerusi laman web SC di https://www.sc.com.my/regulation/consultation-papers.

Orang ramai diminta untuk menghantar komen dan maklum balas mereka melalui e-mel ke [email protected] sebelum 29 Mac, 2019.

— BERNAMA