SC jangka RM120 bilion diraih menerusi pasaran modal tahun ini

SC jangka RM120 bilion diraih menerusi pasaran modal tahun ini

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) jangka antara RM110 bilion dan RM120 bilion dana diraih daripada tawaran awam awal (IPO), pasaran ekuiti dan penerbitan bon dan sukuk korporat.

Pengerusi Datuk Syed Zaid Albar berkata beliau yakin dengan prospek pada tahun ini di sebalik halangan luaran dan ketidaktentuan ekonomi global, termasuk rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China ketika ini.

Beliau menyandarkan unjuran baik itu pada IPO “lebih baik” dan pelan yang sedang dilaksanakan SC untuk menyemarakkan lagi pasaran pada tahun ini.

“Untuk memastikan pertumbuhan ekonomi kita adalah inklusif dan mampan di masa depan, pasaran modal perlu mempunyai akses kepada seluruh spektum membabitkan pembekal, pelabur dan pengantara. Ia juga perlu pantas dalam memberi respons terhadap perubahan dalam landskap ekonomi serta permintaan pengguna.

“Akses dan keanjalan lebih baik mesti, bagaimanapun, diiringi dengan akauntabiliti lebih tinggi. Kami akan terus meningkatkan tadbir urus dan tatalaku, baik bagi pihak pembekal dan pengantara dalam pasaran modal,” katanya pada taklimat media tentang laporan tahunan SC di sini, hari ini.

Tahun lepas, dana pasaran modal yang diraih berjumlah RM114.6 bilion, katanya.

Saluran pengumpulan dana alternatif, iaitu modal usaha sama, ekuiti persendirian, ekuiti pendanaan awam dan pembiayaan rakan setara, meraih RM808.4 juta, menunjukkan keupayaan pasaran modal untuk memainkan peranan penting bagi keperluan pembiayaan pihak pembekal seperti  perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana, katanya.

Untuk tahun ini,  Syed Zaid berkata SC akan memberi tumpuan, antara lain, usaha memperkukuh ruang pembiayaan alternatif untuk memenuhi keperluan pembiayaan syarikat mikro, bersaiz kecil dan sederhana, serta membantu model-model pelaburan digital untuk menarik lebih banyak penyertaan pelabur.

Beliau berkata suruhanjaya juga akan memperluas dan memupuk sinergi antara pasaran modal Islam dan pembiayaan mampan untuk menarik pembekal dan pelabur yang pelbagai.

Selain itu, ia akan menyemak keseluruhan kerangka pasaran utama termasuk pendekatan untuk meluluskan IPO.

Katanya SC juga akan meningkatkan pengalaman pelabur menerusi pendigitalan rantaian nilai pembrokeran dan memantapkan penyeliaan dan pemantauan dari segi risiko, khususnya dengan strategi aset digital dan perdagangan yang kini semakin penting.

— BERNAMA