Malaysia Dateline

SC kaji semula langkah cegah rasuah syarikat tersenarai

Suruhanjaya Sekuriti (SC) akan mengkaji semula langkah-langkah pencegahan rasuah melibatkan syarikat tersenarai yang akan menjadi fokusnya tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Syed Zaid Albar berkata, ia merupakan sebahagian daripada usaha SC dalam menyokong pelaksanaan Pelan Anti Rasuah Kebangsaan, yang telah mengenal pasti tadbir urus korporat sebagai satu daripada enam bidang keutamaan.

Kataya, hasil semakan akan diumumkan dalam edisi 2020 laporan tersebut.

“Selain itu, kita juga akan memberi tumpuan melibatkan nisbah pendapatan pengurusan utama melibatkan syarikat tersenarai sejajar dengan pengumuman Belanjawan 2019,” katanya ketika majlis pelancaran laporan Corporate Governance Monitor 2019 (CG Monitor) di sini hari ini yang disempurnakan Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tony Pua, seperti dipetik Utusanonline hari ini.

CG Monitor menampilkan tahap penerimaan positif terhadap kebanyakan amalan terbaik yang dicadangkan dalam Kod Tadbir Urus Malaysia melalui peningkatan dalam kualiti pendedahan.

Laporan itu mengetengahkan pemerhatian ke atas tiga semakan tematik mengenai pengarah bebas dengan tempoh khidmat yang panjang (dasar dan amalan), kepelbagaian jantina dalam lembaga pengarah dan imbuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi 100 syarikat tersenarai teratas.

Pasaran modal 100 syarikat tersebut setakat 31 Disember 2018 berjumlah RM1.44 trilion yang mewakili 80 peratus daripada jumlah ekuiti pasaran modal Malaysia.

Berdasarkan laporan itu, didapati 20 CEO syarikat tersenarai menikmati imbuhan tertinggi.

Ia didahului dengan CEO Genting Bhd. yang menikmati imbuhan sebanyak RM168 juta setahun dengan pasaran modal RM35.44 bilion diikuti Genting Malaysia Bhd. (RM80.61 juta) dan Sapura Energy Bhd. (RM71.92 juta)