Malaysia Dateline

SC ketepi permohonan semakan oleh Lotte Chemical Titan

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah menolak permohonan semakan oleh Lotte Chemical Titan Holding Bhd (LCT) dan pihak-pihak berkaitan lain kerana kegagalan mereka memaklumkan suruhanjaya berkenaan mengenai perkembangan penting sebelum penyenaraian LCT pada 2017.

Badan pengawal selia tersebut telah mengekalkan keputusannya untuk menegur dan mengenakan penalti terhadap LCT, dua pengarah eksekutifnya, Ernst & Young (EY) dan Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB).

Pihak yang ditegur oleh SC adalah LCT, penerbit; Lee Dong Woo dan Lee Kwan Ho, Pengarah Eksekutif LCT; EY, akauntan laporan LCT dan Maybank IB, penasihat utama untuk penyenaraian LCT.

“SC mengekalkan arahannya untuk EY dan Maybank IB untuk melakukan kajian semula dan penilaian komprehensif terhadap dasar dan proses mereka yang berkaitan dengan peranan mereka sebagai akauntan laporan dan penasihat utama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

EY dan Maybank IB telah mengemukakan kajian dan penilaian masing-masing mengenai dasar dan proses mereka yang berkaitan dengan peranan mereka.

Permohonan kepada SC untuk mengkaji pengenaan teguran oleh tiga Pengarah Bebas Bukan Eksekutif LCT, Tan Sri Abdul Rahman Mamat, Tan Sri Datuk Dr Rafiah Salim dan Ang Ah Lek telah dibenarkan dan teguran tersebut telah diketepikan.

— BERNAMA