Malaysia Dateline

SC semak garis panduan untuk tingkatkan penyertaan runcit

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menyemak semula Garis Panduan Dana Dagangan Bursa  (ETF) untuk meningkatkan penyertaan runcit yang membolehkan penerbitan lebih banyak  ETF yang pelbagai di pasaran.

Garisan panduan yang disemak semula itu akan berkuat kuasa pada 3 Jan, 2019.

Dalam kenyataan hari ini, SC berkata ini termasuk ETF berasaskan niaga hadapan, ETF sintetik, ETF komoditi fizikal dan ETF beta pintar.

“Pengenalan pelbagai ETF ini bertujuan untuk menggalakkan pertumbuhan kompetitif dan memudahcarakan inovasi produk di pasaran, menyediakan peluang pelaburan baharu dan memberi pendedahan kepada pelabur terhadap jenis risiko yang berbeza-beza.

“Peningkatan ini selaras dengan perkembangan di peringkat global, dengan pasaran ETF Asia dijangka menyaksikan kadar pertumbuhan tahunan dalam aset sebanyak 18 peratus menjelang  2021,” katanya.

Ketika ini, SC berkata Malaysia mempunyai 10 ETF tersenarai dengan jumlah permodalan pasaran yang digabungkan kira-kira RM2.03 bilion sehingga Oktober 2018.

SC berkata ETF berasaskan niaga hadapan seperti Leveraged and Inverse (L&I) akan membuka jalan bagi saluran lebih berkesan kos dan telus bagi pelabur untuk mengakses pasaran niaga hadapan tradisional yang sofistikated.

“ETF Leveraged yang menggunakan kontrak niaga hadapan untuk menyediakan pulangan harian indeks pendasar (positif atau negatif) berganda, manakala ETF Inverse  membolehkan pelabur memperoleh keuntungan daripada pasaran menurun,” katanya.

Katanya, oleh kerana kerumitan ETF L&I, bakal pelabur runcit perlu memenuhi kriteria prakelayakan tertentu sebelum mereka boleh melabur dalam produk ini.

Pelabur runcit yang pertama kali mesti menjalani modul e-pembelajaran yang dibangunkan oleh Bursa Malaysia, serta simulator prestasi yang disediakan oleh syarikat pengurusan ETF  L&I sebelum mereka boleh melabur dalam ETF L&I, katanya.

— BERNAMA