‘Scam’ tawaran kerja, 9 ahli sindiket diberkas lepas kaut untung RM54k sebulan

Oleh MAISARAH AISYA

Zaman sekarang ini, nak cari kerja pun boleh kena tipu, penat bekerja siang malam tapi gaji melayang entah ke mana.

Nak dapat pekerjaan kini lebih selamat jika pergi berjumpa secara depan-depan di tempat kerja yang dimahukan dan bukan hantar permohonan secara atas talian.

Gigih menipu konon menawarkan kerja dengan gaji yang dibayar dalam dolar Amerika Syarikat (AS), akhirnya sindiket ini berjaya ditumpaskan.

Sembilan ahli sindiket pusat panggilan penipuan pekerjaan antarabangsa itu didakwa mengaut keuntungan RM54,000 sebulan

Kesemua suspek terdiri daripada lima lelaki dan empat wanita termasuk tiga warga China berusia antara 26 dan 43 tahun diberkas polis di sebuah kondominium di Taman Kota Laksamana, Melaka, minggu lalu lapor Kosmo! Online.

Ahli sindiket tersebut ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka.

Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Md. Nazri Zawawi berkata, sindiket menyasarkan mangsa daripada rakyat sebuah negara di kepulauan Caribbean.

Jelas beliau modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan mengiklankan tawaran pekerjaan palsu di Facebook.

Manakala mangsa yang berminat dikatakan berkomunikasi dengan ahli sindiket melalui Whatsapp atau Telegram.

“Mangsa kemudian diarahkan membuat 32 jenis tugasan melalui laman sesawang yang kononnya bagi membantu menaikkan jumlah maklum balas hotel dan filem negara berkenaan.

“Selesai tugas pertama, mangsa yang berminat meneruskan tugasan akan diarahkan membuat transaksi bayaran kepada ahli sindiket ini.

“Mangsa dijanjikan bayaran komisen dalam dolar Amerika Syarikat (AS) antara AS$70 dan AS$100 bagi setiap tugasan yang berjaya dilaksanakan.

“Bagaimanapun, mangsa tidak menerima komisyen dijanjikan setelah bayaran dibuat dan sindiket dipercayai memperoleh keuntungan sebanyak RM54,000 sebulan,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Turut dirampas adalah pelbagai jenis barangan antaranya sebuah komputer riba, tujuh komputer meja dan 49 telefon bimbit dianggarkan bernilai kira-kira RM30,000.

“Kesemua suspek direman selama empat hari sehingga 11 Februari ini bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” tambahnya.

Baca juga: Trump komited nak ‘beli’ Gaza, mungkin serah pembangunan semula kepada negara Asia Barat