Malaysia Dateline

‘Scheme of things’ demi agama, bangsa dan negara!

1. Ada beberapa orang ahli dan penyokong kerajaan rampasan kuasa tebuk atap yang nampak begitu “desperate” kerana takut Belanjawan 2021 tidak diluluskan sehingga menuduh penentang Rang Undang-undang Perbekalan itu sebagai pengkhianat.

2. Yang paling lantang adalah seorang wakil BN (Umno) dari sebuah negeri di Utara Semenanjung. Dia bercakap seolah-olah dia Perdana Menteri walaupun tak dibagi apa-apa jawatan tinggi.

3. Dia dan geng dia buat-buat lupa yang merekalah sebenarnya pengkianat apabila berkonspirasi mengkhianati mandat pengundi melalui gerakan jahat “the Sheraton Move” pada 23 Februari lalu.

4. Tingkah laku sebahagian besar Ahli Parlimen Malaysia hari ini bolehlah disamakan dengan anggota “Rump Parliament” Inggeris pada tahun 1648 seperti terkandung kutukan Oliver Cromwell.

5. Cromwell adalah jeneral dan negarawan Inggeris yang mengepalai bala tentera Parlimen bagi memerangi King Charles I ketika perang saudara Inggeris dan memerintah Kepulauan British sebagai “Lord Protector” dari 1653 hingga kematiannya pada 1658.

6. Daripada siapakah dia melindungi negaranya? Bukankah dia telah berjaya menggalakkan King Charles l, membicarakannya atas tuduhan khianat dan menjatuhkan hukuman pancung ke atasnya?

7. Bukan itu saja. Dia juga menghapuskan sistem beraja dan mengisytiharkan England sebuah republik. Sistem raja berperlembagaan kembali diamalkan mulai tahun 1660.

8. Jawapannya terkandung dalam ucapan Cromwell kepada Parlimen yang berbunyi:

“Sudah sampai masanya aku menamatkan persidanganmu di dewan ini yang telah kamu cabul kemuliaannya dengan mempermainkan segala kebaikan dan mengamalkan segala kenodaan. Kamu bercakaran dan adalah musuh kepada pemerintahan yang baik. Kamu adalah tentera upahan yang menjelikkan dan macam Esau menjual negaramu untuk sepinggan makanan dan macam Judas mengkhianati “Tuhanmu” untuk beberapa keping wang emas. Apakah tidak ada secebis pun kemuliaan yang masih kekal di kalangan kamu? Adakah tidak ada satu pun dosa yang tidak kamu lakukan? Kamu tidak ada agama lagi seperti kuda tungganganku, emas adalah tuhanmu dan siapakah antara kamu yang tidak menggadai hati nuraninya demi mendapatkan rasuah?”

9. Bunyi lebih kurang macam Parlimen Malaysia dewasa ini di mana banyak ahli mengaku nasionalis dan agamawan bermoral tinggi tetapi tidak segan-silu menjual harapan dan mandat rakyat jelata demi pangkat dan kuasa.

10. Mengamalkan rasuah politik secara terang-terangan melalui konspirasi “the scheme of things” sambil melaungkan slogan basi “demi agama, bangsa dan negara”.