Malaysia Dateline

SCORE terbukti berkesan untuk mengindustrikan Sarawak

Kerajaan negeri akan terus menyokong pembangunan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) berikutan ia terbukti berkesan untuk mengindustrikan negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata setakat ini, SCORE telah mencatatkan pelaburan awam dan swasta lebih RM79.971 bilion, dan daripada jumlah itu, sebanyak RM33.64 bilion atau 42 peratus daripada pelaburan swasta.

Katanya jumlah pelaburan swasta yang direalisasikan setakat ini adalah sebanyak RM22.53 bilion, dijana daripada sembilan projek yang telah beroperasi, dan tujuh daripada projek itu di Samalaju Industrial Park, satu projek di Mukah dan satu di Tanjung Manis.

“Tujuh pelabur di Samalaju Industrial Park telah memberi sumbangan yang ketara kepada ekonomi tempatan, menjana limpahan kira-kira RM500 juta sebulan.

“Dalam usaha kami untuk menarik lebih banyak industri ke Samalaju Industrial Park, selain menjadikan Bintulu sebagai hab petro-kimia di rantau ini, kami akan terus menyokong pertumbuhan industri sedia ada di Samalaju Industrial Park untuk membolehkan mereka mengembangkan operasi mereka dan menarik lebih banyak industri hiliran,” katanya dalam ucapan pada majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-10 SCORE di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) di sini malam.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud.

Beliau berkata pihaknya turut menggalakkan penubuhan lebih banyak industri petrokimia yang dapat menggunakan gas asli sebagai stok suapan, bukan hanya di Bintulu, tetapi juga di Lawas.

Abang Johari yang juga Pengerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Koridor Serantau (Recoda) berkata usaha juga akan dilakukan untuk memastikan Samalaju Industrial Port akan terus memberikan perkhidmatan yang cekap dan mesra perniagaan kepada pelanggannya.

Katanya bagi memperluaskan kawasan SCORE ke kawasan pedalaman dan luar bandar Sarawak, kerajaan negeri telah mewujudkan tiga agensi pembangunan di bawah Recoda, iaitu Upper Rajang Development Agency (URDA), Highland Development Agency (HDA) dan Northern Region Development Agency (NRDA), sejajar dengan agenda pembangunan negeri untuk memacu pembangunan infrastruktur fizikal dan kemudahan di kawasan ini untuk memodenkan ekonomi luar bandar.

Beliau berkata dengan inisiatif terkini ini, kawasan SCORE kini diperluaskan daripada kira-kira 70,000 kilometer persegi kepada kira-kira 100,000 kilometer persegi, iaitu lebih dua pertiga saiz Sarawak.

Dengan perkembangan ini, katanya penduduk di kawasan itu akan dapat mengambil peluang daripada peluang perniagaan dan pekerjaan yang diwujudkan.

Ketua Menteri itu berkata Recoda kini memerlukan struktur organisasi, model perniagaan dan strategi baharu untuk melaksanakan semua aktiviti ini yang penting untuk pembangunan SCORE.

Sehubungan itu, katanya Recoda kini sedang menjalankan langkah penstrukturan semula dan akan mengambil lebih ramai mereka yang berkelayakan untuk melaksanakan agenda pembangunan SCORE dengan cepat.

— BERNAMA