Malaysia Dateline

“Sebab kita gagal laksana ‘sosial distancing’ secara sukarela, sekarang perlu paksaan”

Bekas Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad pagi ini melalui satu siri tweetnya menegaskan pentingnya kawalan pergerakan ketika ini untuk menurunkan ‘keluk epidemik’.

Beliau berkata, disebabkan rakyat Malaysia gagal melaksanakan jarak sosial (social distancing) secara sukarela, maka ketika ini perlu melakukan jarak sosial secara paksaan.

“Dengan dua kematian, (keseluruhan jumlah) 673 kes positif (jangkitan Covid-19) dan 12 pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU), Kawalan Pergerakan (Movement Control Order) penting untuk turunkan ‘keluk epidemik’.

“Sebab kita gagal laksana ‘Social Distancing’ (SD) secara sukarela pada awalnya, maka sekarang SD paksaan,” katanya.

 

Wabak atau epidemik merujuk kepada bilangan kes sesuatu penyakit tersebut yang mendadak naik melebihi kadar yang biasa. Biasanya, peningkatan kes sesuatu penyakit yang mendadak akan jelas kelihatan dalam satu-satu komuniti dan lingkungan masa yang tertentu melalui aktiviti pemantauan atau surveilans.

Sementara itu, dalam ciapan sama, Dzulkefly juga berkata, mematuhi jarak sosial agak membebankan namun ia amat diperlukan ketika negara diancam dengan wabak berkenaan.

“Betul menyusahkan tapi (SD) amat diperlukan. Bersama semua kita jayakan MCO,” katanya lagi.

Terdahulu, setakat semalam negara mencatat 120 kes baharu yang menjadikan jumlah kes positif jangkitan Covid-19 di Malaysia sebanyak 673 kes.

Negara turut mencatat dua kematian pertama yang membabitkan seorang peserta himpunan Tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling, dan seorang paderi berusia 60 tahun, di Kuching Sarawak.