Malaysia Dateline

Sebab tak ada ‘booster’, jemaah tak boleh solat – Ramai kecewa masjid tetapkan syarat lengkap ‘booster’ untuk solat Jumaat

Sejak semalam, tular di media-media sosial Facebook, TikTok dan Twitter apabila ramai yang mendakwa mereka tidak dibenarkan menyertai solat Jumaat hanya kerana belum melengkapkan dos penggalak vaksin Covid-19.

Perkara rersebut ternyata mengundang kekecewaan orang ramai kerana rata-rata dari mereka sudah pun melengkapkan dua dos vaksin dan menganggap tindakan pihak masjid sebagai satu diskriminasi.

Menerusi satu video yang dimuatnaik di laman Facebook yang dipercayai berlaku di sebuah masjid Hulu Langat, anggota RELA yang menjaga pintu pagar masjid memberitahu bahawa larangan tersebut adalah dari arahan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

'Sebab tak ada 'booster', kami tak boleh solat' - Ramai kecewa masjid tetapkan syarat lengkap ‘booster’ untuk solat Jumaat

Dalam video berkenaan, ramai jemaah dilihat tidak dibenarkan masuk ke dalam masjid dan difahamkan ianya berlaku di Masjid Pekan Batu 14 Hulu Langat.

“Disebabkan tiada booster, maka tiada hak untuk kami solat. Tiada booster, tidak boleh solat. Lihat, berapa ramai yang pulang. Ada 3 dos baru Khairy Jamaluddin beri masuk,” kata salah seorang jemaah yang merakam situasi tersebut semalam.

Video itu dikongsikan pengguna Facebook, Didi D’haida yang kemudian memuatnaik status mengatakan sekiranya ketetapan begitu diletakkan, sepatutnya pusat membeli belah juga perlu mengenakan syarat yang sama.

Sementara itu, di Twitter, warganet mempersoalkan apa keperluan memasuki masjid sehingga mewajibkan semua mengambil 3 dos.

“Apa keperluan nak masuk masjid sampai 3 dos? adakah tanpa booster, kita boleh jangkiti jemaah lain?

“Apa fungsi vaksin? untuk lindungi diri anda sahaja bukan lindungi orang lain. Tapi kenapa perlu sekat orang untuk solat di masjid?,” tanya @aaizatnizam.

Pada masa sama, pengguna @naufa pula menyifatkan tindakan pihak berkuasa mengeluarkan arahan melarang individu tidak lengkap dos penggalak dari menunaikan solat Jumaat, merupakan diskriminasi tahap tertinggi.

“Sebagai seorang muslim saya rasa kecewa dan marah. Saya tidak menentang vaksin tetapi saya menentang diskriminasi. Ini diskriminasi tahap tinggi bila hanya membenarkan yang lengkap booster sahaja boleh masuk solat di masjid. Org HIV pun kita tak layan macam ini,” tulisnya.

Di TikTok, warganet juga meluahkan perkara yang sama dan difahamkan banyak masjid-masjid sudah mula mengenakan syarat ketat untuk menunaikan solat Jumaat.