Sebagai parti masa depan, Amanah disambut hangat generasi muda

Sebagai parti masa depan, Amanah disambut hangat generasi muda

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Sambutan hangat golongan muda kepada parti Amanah khususnya di Kelantan menjadikan parti itu mula diiktiraf rakan dan pesaing, kata Pengerusi Amanah Kelantan, Dato’ Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

“Saya sendiri yakin dapat naik pangkat lebih cepat dari yang dijangka,” kata beliau ketika meraikan rombongan Arif nasional di majlis makan tengahari di Kota Bharu hari ini.

Maksud naik pangkat kata beliau ialah mengambil jawatan sebagai penasihat dan menyerahkan jawatan pengerusi sekarang kepada orang muda.

“Dari awal saya tidak sanggup untuk menerajui sebuah parti tetapi kerana sukar dicari yang sesuai saya menerima, tetapi sekarang syukur kerana kini parti Amanah telah disertai begitu ramai orang muda maka tempoh asal saya bercadang jadi pengerusi boleh dipendekkan dan saya boleh bergerak ke jawatan lebih atas,” katanya.

Menurut Wan Rahim beliau begitu terkejut semasa berkempen di Sarawak baru-baru ini apabila begitu ramai orang muda turut serta.Majlis penyampaian bantuan sambutan Ramadan kepada pengayuh beca oleh Pengarah Arif Nasional Juhari Osman

“Sebahagian saya kenal sejak bekerja dalam parti lama tetapi lebih ramai saya tidak kenal kerana mereka kebanyakannya baru dalam bidang politik,” katanya.

Sebelum itu diadakan satu majlis penyampaian bantuan kepada pengayuh beca (disebut teksi di Kota Bharu) sebagai acara bulanan dan kali ini bersempena menyambut kedatangan Ramadan.

“Belanja bantu penggatih teksi (pengayuh beca) tadi pun diusahakan sepenuhnya oleh orang-orang muda yang bekerja di sekitar ini dan di luar Kelantan,” kata beliau.

Kata beliau ramai orang muda yang berjumpa dengan beliau menyatakan rasa selesa dengan parti Islam baru Amanah ini kerana memberi ruang lebih luas untuk menjalin persahabatan dan membuat kerja-kerja kebajikan.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada rombongan Arif nasional yang sudi hadir ke Kelantan.

“Saya berharap pihak Arif nasional memberi bantuan dalam bentuk latihan kepimpinan dan peningkatan kemahiran kepada Arif Kelantan sehingga kita dapat melaksanakan pelbagai tugas terutama apabila berhadapan suasana bencana seperti banjir,” katanya.

TAGS