Malaysia Dateline

Pemimpin muda minta orang tua mereka jangan berkelahi

Ketika pemimpin utama mereka dilihat berkelahi sesama sendiri, pemimpin muda Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) mengingatkan pembangkang seharusnya berhenti berkelahi terutamanya mengenai perkara yang begitu trivial dan kecil.

Ketua Penerangan Pejuang yang baru dilantik, Ulya Aqamah Husamudin berkata, sebagai pembangkang hendaklah mencari titik  persamaan, gembleng usaha dan bekerjasama menolak Kerajaan yang dicuri dan bersekongkol dengan kleptokrat.

“Pembangkang seharusnya berhenti berkelahi terutamanya mengenai perkara yang begitu trivial dan kecil.

“Cari titik tengah persamaan, gembeling usaha dan bekerjasama menolak kerajaan yang dicuri dan bersekongkol dengan kleptokrat,” kata Ulya yang baru menggantikan Dr Mazlee Malik sebagai Ketua Penerangan Pejuang itu.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mendakwa Tun Mahathir cuba untuk menghalang Pakatan Harapan menjadi kerajaan semula selepas menyatakan bahawa Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak mengemudi kerajaan dalam suasana krisis ekonomi pada hari ini.

Ulya menyifatkan kenyataan PKR itu satu kenyataan yang gelojoh dan tidak berasas sama sekali.

“Umum tahu bahawa punca Langkah Sheraton terjadi adalah kerana pengkhianatan dari kem Dato Seri Azmin Ali serta Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Jika Tun Dr Mahathir mahu kekal sebagai Perdana Menteri sehingga hari ini, beliau boleh sahaja dengan Kerajaan Perikatan Nasional kerana beliau sebenarnya adalah calon Perdana Menteri PN,” katanya.

Namun, katanya, Tun Dr Mahathir tidak bersetuju dengan pengkhianatan tersebut dan beliau bersedia dibuang dari parti yang beliau bina sendiri demi pertahankan mandat Rakyat dan mengotakan janji kepada komponen Pakatan Harapan (PH).

“Andai Tun tidak meletakkan jawatan, Bersatu dan kumpulan Azmin Ali sewaktu itu tetap akan keluar daripada PH dan tetap akan menyebabkan Kerajaan Pakatan Harapan jatuh.

“Sewaktu Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan mempunyai jumlah sokongan yang mencukupi beliau sendiri memberitahu angka ini tidak termasuk PEJUANG. Hakikatnya PKR terlebih awal tidak mahu bekerjasama dengan pihak Pejuang dan lebih memeranjatkan sanggup bersekongkol dengan Umno termasuk beberapa ahli politik Kleptokrat.

“Bagaimana tuduhan dilemparkan kepada pihak Tun dan Pejuang sedangkan pihak DS Anwar Ibrahim sendiri tidak membincangkan soal sokongan,” ujarnya.

Beliau berkata, jika diamati kenyataan yang dibuat Tun baru-baru ini, jelas ia tiada kena mengena dengan Langkah Sheraton dan hanya merujuk kepada pengalaman sewaktu menjadi Perdana Menteri ke-4.

Sebelum ini, Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mendakwa Tun Mahathir  cuba untuk mengkhianati serta menggagalkan usaha Pakatan Harapan (PH) bagi mendapatkan semula kerajaan.

Ini kerana Tun Mahathir  berkata Anwar tidak layak untuk memegang jawatan Perdana Menteri di saat negara sedang berhadapan dengan krisis berdasarkan pengalaman Anwar sebagai timbalannya, tidak mampu mengemudi negara jika berlakunya krisis kewangan, dengan menyorot krisis ekonomi pada 1997 sebagai contoh.