Malaysia Dateline

Sebahagian besar Kelantan, Terengganu, Pahang masih zon merah

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan amaran tahap Bahaya (Merah) iaitu jangkaan hujan sangat lebat berterusan sepanjang hari ini di sebahagian besar daerah di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Dalam kemas kini menerusi Facebook, MET Malaysia berkata, hampir keseluruhan daerah di Kelantan terbabit ialah Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang manakala empat daerah di Terengganu terlibat iaitu Besut, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.

Sementara itu, lima daerah di Pahang diramalkan menerima hujan sangat lebat tanpa henti merangkumi Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin.

Dalam masa sama, pantai timur Johor juga berada dalam zon merah dan dijangka mengalami hujan lebat berterusan iaitu Mersing dan Kota Tinggi.