Malaysia Dateline

Sebahagian besar kes Macau dan African scam melibatkan golongan wanita

 

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Hannah Yeoh hari ini mendedahkan bahawa sebahagian besar daripada kes Macau dan African scam adalah melibatkan golongan wanita.

Justeru itu, beliau mengingatkan golongan wanita supaya lebih berhati-hati dan pada masa sama, tidak mudah memberikan data peribadi mereka kepada mana-mana pihak.

Berdasarkan statistik bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, Hannah berkata, daripada 1,911 kes macau scam direkodkan, sebanyak 1,109 daripadanya adalah membabitkan golongan wanita.

“Manakala sebanyak 1,070 kes African scam dikesan membabitkan golongan itu iaitu daripada jumlah keseluruhan 1,303 kes bagi tempoh yang sama.

“Untuk kes Macau scam, modus operandinya adalah, sindiket akan menghubungi mangsa dan memaklumkan perkara yang berpotensi melibatkan ketakutan seperti hutang dan saman yang tertunggak dan juga penglibatan mangsa dalam jenayah.

“Jadi, saya ingin menasihatkan, jangan terus percaya dan mengikut sahaja arahan yang diberikan seperti meminta nombor akaun bank atau kad pengenalan.

“Jika sesiapa ada menerima panggilan sedemikian, dinasihatkan supaya membuat semakan dengan agensi berkaitan bagi menentukan kesahihan dakwaan yang dibuat,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman.

Dalam isu sama, Azis berkata, orang ramai boleh membuat semakan tentang keldai akaun di http://ccid.rmp.gov.my/semakmule bagi mengelakkan mereka tertipu.

“Jika sesuatu akaun bank itu disiasat pihak PDRM, ianya akan dipaparkan di portal tersebut, maka orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang urusan pembayaran ke dalam akaun berkenaan.

“Dalam mengatasi isu ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga akan sentiasa menjalinkan kerjasama dengan KPWKM memandangkan kami mengenal pasti golongan wanita adalah ‘easy target’ bagi sindiket tersebut,” katanya