Sebahagian menteri tidak utamakan kepentingan negara, luah Rais Yatim

Sebahagian menteri tidak utamakan kepentingan negara, luah Rais Yatim

Bekas menteri Kabinet, Tan Sri Dr Rais Yatim berpendapat sebahagian menteri dalam kerajaan hari ini tidak meletakkan kepentingan negara serta terlalu bergantung kepada Tun Dr Mahathir.

Dalam wawancara eksklusif Malaysia Dateline di pejabatnya 11 Mac lalu, Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan berkenaan berharap situasi itu segera berubah dengan serius menangani keperluan rakyat.

“Menteri kita pula entah apa mereka cakap. Mahu kasut hitamlah. Tapi yang terasnya budaya tinggi tidak buat.

“Hal-hal ini membingungkan saya sebab saya sudah banyak berkhidmat dengan Perdana Menteri. Boleh kata semua. Kali ini lebih sukar

“Menteri-menteri kita tidak terawas dengan Tun Mahathir seorang sahaja. Kabinet nampaknya bergantung pada setakat mana Tun Mahathir bertahan.

“Menteri tidak berpengalaman dan tidak mengutamakan kepentingan negara dan rakyat. Bagi saya, kalau rakyat sudah bersuara, itu terlebih dahulu kita utama dan analisiskan,” luahnya.

Beliau berkata, kritikannya terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) sejak musim PRK Dun Semenyih lalu hanya mahu melihat perubahan lebih baik kepada rakyat dan negara ini.

Walau bagaimanapun, Dr Rais memberi peluang sehingga genap setahun PH di Putrajaya untuk menilai usaha yang dilakukan kerajaan dalam menunaikan janji PRU-14 lalu.

“Biar kita berterus-terang. Mungkin ada kawan-kawan dalam parti tidak setuju dengan saya. Saya tidak kisahlah ada orang tidak setuju.

“Saya masuk parti ini (Bersatu) dengan aspirasi untuk perubahan. Kalau tidak boleh kita buat perubahan, payahlah. Kita lihat lagi tiga bulan (prestasi kerajaan PH),” katanya lagi.