‘Sebaik mungkin lupakanlah sengketa…’

‘Sebaik mungkin lupakanlah sengketa…’

Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH), Tan Sri Muhyiddin Yassin secara amnya menasihati pemimpin-pemimpin politik yang berkelahi, supaya mencari jalan penyelesaian.

Katanya, sekiranya ada perkara-perkara yang berbangkit, mereka perlu menyelesaikan masalah tersebut.

“Saya tidak mahu menamakan pemimpin yang mana satu. Kita ambil itu sebagai panduan kita. Sebaik mungkin lupakanlah sengketa.

“Cari jalan terbaik dan wujudkan kerjasama yang boleh membantu kita melaksanakan amanah rakyat dengan lebih berkesan lagi.

“Kalau pun berbangkit, cari jalan penyelesaian. Lagi cepat lagi baik kerana rakyat menumpukan kepada parti komponen dalam PH.

“Mereka (rakyat) mahu melihat apa kerja kita dan bukannya melihat sengketa sesama sendiri,” katanya.

Muhyiddin mengulas demikian ketika ditanya pemberita mengenai nasihat beliau berkaitan krisis yang sedang melanda Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Muhyiddin menyempurnakan Majlis Pelancaran Bantuan Pasca Banjir oleh Angkatan Baru dan NGO, di pekarangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga merupakan Menteri Dalam Negeri menyempurnakan Majlis Pelancaran Bantuan Pasca Banjir oleh Angkatan Baru dan NGO, di pekarangan Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.

Ahad lalu, Sinar Harian melaporkan bahawa Azmin Ali mempertikaikan tindakan Anwar Ibrahim yang menggunakan sejarah Si Kitol dan Raja Mendelia ketika berucap pada Kongres Nasional PKR 2019 di Melaka pada Sabtu lalu.

Menurut Azmin, banyak lagi sejarah lain yang boleh dijadikan contoh selain watak yang digambarkan sebagai pembelot yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Melaka di tangan Portugis.

“Kalau nak baca sejarah, kita ada 1001 sejarah yang lain. Kenapa nak baca sejarah yang boleh memecah perpaduan dalam parti,” katanya pada majlis makan malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Hotel Renaissance, Ahad lalu.