Malaysia Dateline

‘Sebaiknya tidak perlu adakan sidang Parlimen, biar terbubar sendiri’

Sesi persidangan Parlimen sebaiknya tidak perlu diadakan dan biarkan ianya terbubar dengan sendiri bagi membolehkan rakyat memberi mandat kepada mana-mana parti untuk membentuk kerajaan, cadang Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar.

Ini kerana katanya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat tidak stabil ditambahkan lagi dengan hubungan dalaman kerajaan yang longgar.

Beliau berkata, ahli Parlimen PN juga tidak memberikan komitmen yang tinggi, malah lebih banyak menuntut tentang hak parti masing-masing.

Mahfuz menambah, Tan Sri Muhyiddin sendiri merasai bahawa tindakan beliau memberikan pelbagai jawatan kepada Ahli Parlimen PN, dilihat tidak meyakinkan beliau bahawa mereka itu semua akan mempertahankannya.

“Apatah lagi dengan kenyataan yang dibuat Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan baru-baru.

“Mohamad Hasan dalam kenyataan berkata, sebagai parti politik, tugas dan fokus Umno kini ialah bersedia memenangi pilihan raya akan datang bersama rakannya dalam Muafakat Nasional dan BN, serta Umno akan terus menjadi parti politik Melayu terbesar di negara ini.

“Manakala, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid pula membuat tuntutan mengenai pelantikan kepimpinan kerajaan yang melibatkan Ahli Parlimen Umno Sabah.

“Jadi, semua perkara itu dilihat oleh Muhyiddin bahawa dia tidak yakin mendapat sokongan majoriti daripada ahli-ahli Parlimen, khususnya Umno,” katanya kepada Malaysia Dateline, hari ini.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menambah, Muhyiddin juga mengerti bahawa Pas sememangnya bersama dengan Umno.

“Sebab itu dia (Muhyiddin) tidak berani hendak buat (sidang Parlimen) dalam tempoh yang panjang.

“Jadi, saya harap biarlah ia terbubar dengan sendiri. Lagipun kerajaan sekarang ini pun tidak mendapat mandat rakyat,” ujarnya lagi.