Malaysia Dateline

Sebalik sanjungan buat AMANAH usah remehkan rasa tidak puas hati akar umbi

Ahmad Lutfi OthmanKonvensyen Nasional Parti Amanah Negara (AMANAH) tidak mendapat liputan utama media, berbanding dua persidangan tahunan PKR dan Umno yang diadakan serentak, namun ramai pemerhati politik memberi penghargaan tinggi kepada parti yang baru berusia empat tahun itu.

Tanpa dicemari sebarang insiden tidak diingini, perhimpunan AMANAH itu turut menyaksikan proses pemilihan kepemimpinan parti yang agak unik, dan berjalan lancar serta mengambil masa yang relatif singkat. Ia langsung tidak menganggu tumpuan terhadap agenda penting konvensyen, khususnya sidang perbahasan dan jawapan pemimpin.

Keputusan 27 jawatankuasa nasional diketahui sejurus selepas pengundian e-voting, manakala lima jawatan tertinggi — presiden, timbalan, tiga naib — diputuskan secara syura oleh majlis pimpinan yang baru dilantik bersama pengerusi-pengerusi negeri dan ketua-ketua sayap. Juga hanya memerlukan waktu sekitar sepuluh minit.

Tiada keputusan luar dugaan dicapai; petanda para perwakilan mahu proses kesinambungan yang stabil terpelihara. Pendiri awal parti diberi kepercayaan untuk terus memantap dan mengembangkan parti progresif-inklusif ini. Penambahbaikan dilakukan penuh berhemat dan cermat.

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu terus diberi kepercayaan mengemudi parti yang progresif dan beraliran sederhana ini.

Daripada 27 calon yang terpilih untuk jawatankuasa nasional, tiada nama yang mengundang kejutan. Mungkin ada sosok yang tersenarai itu dianggap muka baru dalam kepemimpinan nasional, namun mereka sudah terbukti menyumbang untuk parti sejak awal dan bergiat aktif di peringkat negeri atau sayap. Misalnya, Ustaz Ridhwan Abu Bakar, Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz, Faiz Fadzil, Mariam Rashid, Dr Ahmad Termizi Ramli, Dr Muhaimin Sulam dan beberapa orang lagi.

Apatah lagi senarai lima jawatan tertinggi; semuanya inkumben. Sejak awal, meskipun diakui keperluan untuk parti melonjak lebih tinggi dan melebarkan pengaruh setanding sekutu dalam Pakatan Harapan (PH), kepemimpinan sedia ada dirasa wajar dikekalkan dalam proses pemilihan secara demokratik buat pertama kali ini.

Terbukti semasa sidang perbahasan, di tengah-tengah kritikan dan teguran terbuka daripada perwakilan — sebahagiannya agak keras dan tajam — rata-rata menghargai prestasi baik menteri-menteri dan ketua menteri AMANAH. Walaupun nampak tenang di permukaan, diakui rasa tidak puas hati tetap ada (termasuk rekod kerja para lantikan politik), tanda ruang untuk “pembetulan” terbuka luas. Antara lain, ia disuarakan secara lantang oleh Ketua Pemuda, Hasnul Zulkarnain Munaim dan bekas Ketua Wanita, Dr Siti Mariah Mahmud. Menariknya, tiada budaya ampu dan “membodek” seperti lazimnya persidangan komponen parti pemerintah.

Semasa berkunjung ke Tanjung Piai, hampir sebulan sebelum berlangsung pilihan raya kecil di sana, saya sempat berbicara panjang dengan ketua AMANAH Pontian, Raden Sorobo Pono. Kami lebih selesa bertukar fikiran tentang cabaran dan potensi parti daripada situasi politik semasa. Di antara topik yang menarik minat adalah paparan jati diri parti Islam dan proses perkaderan yang dilihat agak terabai. Begitu juga dengan cabaran daripada minat masyarakat setempat, termasuk bukan Islam, untuk menjadi ahli baru AMANAH.

Menurut Pak Raden, sebelum PRU14, “masa depan AMANAH dijangka lebih sukar sekiranya kalah PRU14, tetapi Alhamdulillah kita menang, cuma cabaran baru mungkin berdepan suhu panas pemilihan selepas parti mendapat limpahan anggota baru”.

“Kini isu utama aktivis, untuk mengerakkan sektor parti, kerana sebahagian besar terlibat dalam organisasi kerajaan daripada menteri, Exco, pusat khidmat wakil rakyat, ahli majlis, ketua kampung dan sebagainya. Masing-masing tiada pengalaman pula, tidak efisyen dan tak pandai selaras kerja menyebabkan kerja parti agak terabai,” ujarnya.

Ketika suara bernada penghormatan buat AMANAH berkumandang, sekali gus membandingkannya dengan perjalanan kongres PKR yang agak kecoh itu, harus diingatkan agar jangan terbuai dengan sanjungan atau memandang lekeh rakan. Setiap parti, lazimnya apabila meniti takah usia tertentu, sering menempuh tempoh sukar dan diamuk gugatan dalaman. Apalagi pemimpin utamanya lebih banyak masa dalam penjara. PKR juga sudah melalui dua dasawarsa dan sudah lebih sepuluh tahun menerajui kerajaan negeri terkaya di Malaysia. Maknanya tribulasi yang memedihkan dan cabaran keduniaan berselirat dalam organisasi politik ini.

Semasa pimpinan PKR perlu lebih bijaksana, sabar dan tegas, mengurus konflik parti, terutama agar tidak mengheret PH ke dalam kancah berisiko, AMANAH juga harus mengambil iktibar dalam mengendalikan sebarang kemelut dalaman. Usah meremehkan soal sungutan akar umbi dan rasa tidak puas hati aktivis parti, khususnya yang bertungkus-lumus berkorban memajukan organisasi.

Rantaian masalah yang timbul ekoran pembatalan banyak mesyuarat agung kawasan sehingga perlu diadakan semula dan mengecewakan banyak pihak merupakan pengalaman pahit yang memalukan. Aspek pentadbiran parti mesti diperkemaskan termasuk tenaga kerja terlatih, mencukupi dan profesional. Keperluan ketua staf yang berpengalaman dan efisyen cukup terdesak ketika setiausaha agung dan pemegang jawatan stratrategik lain dibebani tugas besar dalam kerajaan.

Sekurang-kurangnya tiga potfolio penting, setiausaha agung, bendahari dan pengarah pilihan raya menyaksikan penyandang baru tetapi penuh pengalaman. Semuanya ada posisi berpengaruh dalam pentadbiran kerajaan. Justeru, mereka tentunya perlukan pasukan kerja yang tersusun. Cabaran parti menjelang PRU15 menuntut persiapan segala dimensi, dengan kelengkapan logistik, dana mencukupi, pimpinan pelapis berpotensi dan citra parti yang meyakinkan terutama buat pengundi muda seawal 18 tahun.

Sementara itu, pandangan bekas prof madya Universiti Teknologi Malaysia, Dr Abd Latiff Mohd Ibrahim, terhadap prestasi PH, perlu ditekuni. Sebagai komponen terpenting — semua parti merupakan sekutu seimbang — AMANAH tidak terlepas tanggungjawab memulihkan tanggapan buruk itu.

Lima kementerian, termasuk mengetuai urusan hal-ehwal agama, yang dipertanggungjawabkan kepada AMANAH, secara umumnya berjalan dengan baik, namun ia terdedah kepada persepsi umum yang bercampur-baur. Penguasaan menteri terhadap bidang tugas masing-masing perlu dimantapkan. Agenda reformasi dan pembaharuan harus dilihat mengambil tempat meskipun dihambat bermacam-macam hambatan dan kekangan. Rutin harian yang bersifat acara rasmi- rasmian tidak wajar menganggu tumpuan untuk melakukan perubahan yang didamba rakyat selama ini.

“PH sedang berdepan masalah imej yang amat negatif. Ini hasil penilaian umum baik kalangan penyelidik berwibawa mahupun pihak lain yang membuat kritikan terpilih termasuk serangan pembangkang yang sering mencipta persepsi negatif terhadap kerajaan PH. Jika diteliti kebanyakan kritikan yang diutarakan banyak pihak, mempunyai asas kepada apa yang diutarakan itu,” ujar bekas pensyarah dan penganalisis politik itu.

Bukan fenomena baru jika perang persepsi khususnya di alam maya dikatakan didominasi oleh pembangkang dan pengkritik tegar kerajaan. PH dilihat kalah dan tidak terlawan dalam pertempuran media sosial terutama berkaitan sentimen perkauman dan keagamaan sempit. Penyebaran berleluasa berita tidak benar dan fitnah dianggap kegagalan media awam membawa cerita-cerita kejayaan kerajaan, sekali gus menangkis dakyah dan pembohongan.

Sayuti Omar, penulis politik yang prolifik turut menegur pendekatan beberapa menteri AMANAH yang berucap dalam konvensyen parti itu. Mereka lebih tertumpu dan ghairah memberi penjelasan kepada tugas di kementerian masing-masing tetapi gagal mengemukakan visi dan misi potfolio dalam AMANAH.

Sayap wanita muda (Warda) berperanan penting untuk melonjakkan pengaruh AMANAH dalam kalangan remaja dan anak muda.

Beliau melihat sisi-sisi pengukuhan AMANAH sebagai parti Islam perlu dimantapkan lagi, terutama saf kepemimpinan, termasuk dari segi syiar atau perlambangan, yang dianggap penting oleh masyarakat Pantai Timur. Kelantan dan Terengganu, yang dikuasai secara mutlak oleh Pas dan Umno, meletakkan tanggungjawab berat kepada AMANAH untuk PH bertapak di sana. Kejayaannya juga diukur sejauh mana mampu menembusi pengaruh Pas dan menarik sokongan pengikut parti berkenaan.

Wilayah yang masih dianggap mempunyai pengaruh kuat Pas seperti Kedah, utara Perak dan sebahagian Pahang juga memerlukan gerak kerja luar biasa AMANAH. Kedah dan Perak juga dilihat tergugat dan kemungkinan direbut BN-Pas jika pola pengundian PRU14 lalu tidak banyak berubah.

“Saya lihat AMANAH gagal melahirkan pemimpin baru dari kalangan asatizah,” kata seorang pemerhati yang mengharapkan parti progresif ini berjaya menggantikan Pas dalam masyarakat Muslim. “Pernah terdengar penyertaan seorang dua ustaz selebriti, tetapi kemudiannya hilang begitu sahaja. Ia juga tandus ikon anak muda yang cukup penting untuk mempengaruhi pengundi pertama kali, terutama dalam usia remaja 18 tahun. Apa pun syabas atas penubuhan sayap wanita muda, WARDA. Unit khusus untuk mahasiswa mesti diaktifkan dan diberi perhatian khusus,” tambahnya.

Rakan saya, peguam Haris Alimudin, bekas Pengerusi AMANAH Sabah, dan baru dilantik AJK Nasional sering melontarkan idea dan melahirkan kegusaran demi masa depan parti.

Ditanya harapannya kepada barisan kepimpinan baru parti, mereka perlu memperjelas dan memperinci gagasan besar Rahmatan lil ‘Alamin kepada ahli. “AMANAH tidak harus luntur semangat dan roh sebagai gerakan Islam. Ahli baru dan lama harus diharmonikan fahamnya kepada maksud asal penubuhan parti,” ujarnya.

“Kedua, menanggapi kekecewaan ramai ahli awal. Pengharapan tinggi ramai ahli agar AMANAH perbaiki status ekonomi serta sosial selepas menjadi kerajaan menyebabkan rasa kecewa juga tinggi apabila ramai yang tidak terlayankan dan ditenggelami oleh ahli baru. Kebanyakan ahli lama adalah lapisan ahli yang jujur serta setia, namun kurang terampil dan kebolehan berbanding ahli baru terutama yang berpengalaman dalam kerajaan. Parti harus menyediakan ruang dan laluan kepada mereka untuk terlibat jika tidak mahu kehilangan mereka,” jelas peguam muda dari Sandakan ini, panjang-lebar.

Dalam keadaan hanya dua naib presiden daripada barisan kepemimpinan utama, tidak memegang jawatan penting dalam kerajaan, maka dicadangkan Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus dan Husam Musa diamanahkan potfolio lebih strategik dan kritikal. Husam dikenali kaya dengan gagasan dan idea menarik, manakala Hasanuddin berpengalaman luas dalam kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan. Tenaga muda seperti Faiz, Ridhwan, Haris, Ketua Pemuda-WARDA dan lain-lain perlu menyuntik darah panas buat menggilap terus idealisme perjuangan.