Malaysia Dateline

Sebanyak 30 kertas siasatan libatkan pegawai dan anggota polis Kelantan dibuka sejak 2014

Sebanyak 30 kertas siasatan melibatkan pegawai dan anggota polis di Kelantan telah dibuka sejak 2014 hingga November tahun ini.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, SAC Abdullah Mohammad Piah berkata, kesemua kertas siasatan itu adalah berkaitan kesalahan narkotik, disiplin dan jenayah.

Beliau berkata daripada jumlah itu seramai 20 daripada mereka sudah dikenakan tindakan gantung tugas manakala selebihnya masih dalam siasatan.

“Semua kes ini melibatkan anggota dan pegawai pelbagai pangkat daripada seluruh negeri.

“Antara kesalahan yang dilakukan termasuk ingkar arahan, langgar prosedur operasi standard (SOP) dan tidak datang kerja,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kenderaan Mitsubishi Outlander kepada IPK dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.

Abdullah berkata pasukan polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana anggota yang didapati melakukan kesalahan malah tindakan tegas akan diambil.

Sementara itu, Abdullah berkata dua  Mitsubishi Outlander yang diterima akan diserahkan  kepada IPK dan masing-masing satu unit kepada IPD Kota Bharu, Pasir Mas, Machang, Tumpat, Gua Musang, Kuala Krai.

Abdullah berkata kenderaan bernilai hampir RM140,000 seunit itu adalah untuk penugasan trafik selain bagi menggantikan kenderaan lama jenis Mitsubishi Pajero dan Proton Waja yang sudah berusia 15 tahun.

“Penyerahan ini adalah peringkat pertama dan akan digunakan bermula hari ini bagi penguatkuasaan trafik.

“Penambahan kenderaan seterusnya mungkin akan dilakukan peringkat kedua yang dijangkakan tahun hadapan,” katanya.

— BERNAMA