Sebanyak 32,949 pemilih berdaftar layak mengundi di PRK Kuala Kangsar

Sebanyak 32,949 pemilih berdaftar layak mengundi di PRK Kuala Kangsar

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Sebanyak 32,949 orang layak mengundi pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Kangsar mengikut daftar pemilih yang didaftarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga 7 Mei lepas.

Pegawai Pengurus PRK Parlimen Kuala Kangsar Mior Muhammad Jamil Mior Zakaria berkata jumlah berkenaan meliputi pengundi biasa sebanyak 32,632 orang, pengundi awal (312) dan pengundi tidak hadir (lima).

“Bagi pengundi biasa, seramai 15,334 pengundi biasa adalah dari kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Chandan dan 17,298 dari kawasan DUN Manong.

“Bagi DUN Bukit Chandan, seramai 292 pengundi awal dan bagi DUN Manong (20 pengundi awal),” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata sebanyak 26 pusat daerah mengundi telah disediakan dengan 69 saluran.

“Pusat daerah mengundi ditempatkan di 22 buah sekolah rendah dan menengah, dua dewan orang ramai dan dua Sekolah Agama Rakyat,” katanya.

Mior Muhammad Jamil berkata pengundian awal akan diadakan pada 14 Jun ini manakala pengeluaran pertama bagi kertas undi pos pada 8 Jun sementara pengeluaran kedua selewat-lewatnya 10 Jun.

“Undi pos ini perlu diserahkan kepada pengurus SPR selewat-lewatnya jam 5 petang pada hari mengundi (18 Jun),” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan para pengundi supaya keluar awal mengundi bagi mengelakkan kesesakan berlaku.

PRK Parlimen Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

TAGS